ARKIB : 09/07/2001
ABDUL Rahman Ibrahim tidak
sedikit pun terpesona dengan kegarangan Selangor mengganyang Pahang 4-1 di
Kuantan kerana anak buahnya memang diakui bermain di bawah tahap kemampuan
sebenar mereka.
Jurulatih Selangor ini
sebaliknya menganggap tuah lebih banyak membantu `Red Giants' meraih tiga mata
dari Stadium Darul Makmur terutama jaringan gol kedua oleh Bakhtiar Othman
dalam pusingan kedua bola sepak Perdana Satu kelmarin.
``Kami tidaklah sehebat mana.
Tak cemerlang pun apabila menang dengan jumlah gol yang besar. Kita bermain di
bawah tahap kemampuan sebenar malah tanpa khidmat empat tonggak yang tercedera
dan menjalani penggantungan,'' katanya.
Menurut Rahman di Kuantan
kelmarin, ketiadaan Yusri Che Lah, Tengku Hazman Raja Hassan, Nor Shuhaimi
Bahauddin dan Khairun Haled Masron ternyata mencacatkan rentak Selangor khasnya
dalam babak pertama.
``Tanpa empat tonggak ini,
Pahang ternyata lebih baik apatah lagi dalam babak pertama. Mujurlah selepas
saya perbaiki kelemahan itu, barulah kelihatan pemain mula bersungguh walaupun
tak secemerlang mana,'' katanya.
Yusri digantung satu permainan
kerana mengutip dua kad kuning, begitu juga Hazman yang masih belum tamat
menjalani larangan bermain gara-gara insiden Piala FA dengan Pulau Pinang
sementara Shuhaimi dan Khairun masing-masing demam.
Rahman bagaimanapun akur bahawa
gol penyamaan tandukan Nizaruddin Yusof dan `jaringan tak sengaja' Bakhtiar
telah mengembalikan semangat pasukan sekali gus membunuh saki-baki daya juang
Tok Gajah.
``Saya rasa gol Nizaruddin menaikkan
semula semangat kami dan kita bernasib baik beroleh gol kedua. Itu yang merubah
keadaan dan telah menyebabkan Pahang mulai mengaku kalah,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bg4ge4UV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan