ARKIB : 28/03/2002
BEKAS penjaga gol pasukan bola
sepak kebangsaan, Ong Yu Tiang yang menghidap penyakit Leukemia, melahirkan
rasa terharunya dengan sokongan serta bantuan kewangan yang diberikan oleh
rakan seperjuangannya dan orang ramai.
``Saya cukup rasa terharu kerana
orang ramai dan rakan-rakan yang tolong saya dan masih ada yang ingat akan
saya, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih, yang tolong saya dengan
ikhlas,'' katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur,
semalam.
Ong, 44, yang tidak dapat menahan
air matanya berkata beliau berterima kasih kepada Kelab Sukan Ulu Klang (UKRC)
yang mewujudkan Tabung Perubatan Ong Yu Tiang, yang setakat ini telah berjaya
mengumpul lebih RM50,000.
Ahad lepas, UKRC mengadakan
perlawanan Bola sepak Amal Ong Yu Tiang dengan kemuncak perlawanan melibatkan
bekas pemain kebangsaan yang dihadiri kira-kira 700 penonton.
Persatuan Bola Sepak Selangor
turut mengumumkan perlawanan Perdana Satu antara Selangor dan Pahang di Stadium
Shah Alam, kelmarin sebagai ``Perlawanan Amal'' dan 10 peratus daripada kutipan
tiket perlawanan itu disumbangkan kepada Ong.
Ong yang berkhidmat sebagai
pengurus promosi di Sunrise Sports, sebuah syarikat pengedar peralatan sukan,
disahkan mengidap penyakit Acute Lymphocytic Leukaemia awal tahun ini dan baru
dua hari dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM).
Menyentuh kos rawatan, Ong
berkata pihak hospital sendiri tidak dapat menentukan jumlahnya.
Oleh itu katanya laporan yang
menyebut beliau memerlukan RM50,000 untuk rawatan adalah tidak benar.
``Sebenarnya saya sendiri tidak
tahu kos yang diperlukan sebab rawatan saya berlanjutan, jumlah RM50,000 yang
disiarkan sebelum ini adalah sasaran kutipan sumbangan UKRC untuk tabung
(Tabung Perubatan Ong Yu Tiang) itu dan bukannya kos rawatan saya,'' katanya. -
Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4byStnTAn©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan