Jumaat, 31 Mac 2017

Khairul berehat panjang


ARKIB : 29/05/2003
KETUA pasukan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan lutut menyifatkan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA sebagai membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Katanya, ini jelas membuktikan bahawa pasukan dari divisyen dua mampu melangkah ke perlawanan akhir dan berharapkan setiap pemain menunjukkan komitmen yang tinggi.

``Kejayaan memasuki perlawanan akhir Piala FA membuktikan langkah pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) memilih pemain-pemain yang ada sekarang begitu tepat sekali,'' katanya di Seremban semalam.

Malah Khairul yang pernah beraksi dalam skuad Rusa pada tahun 2000 hingga membawa Negeri Sembilan beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia menyifatkan pasukan Negeri Sembilan tahun ini adalah satu pasukan yang begitu mantap.

Jelasnya, skuad Rusa mampu mengalahkan pasukan-pasukan lain dalam divisyen satu musim ini.

Selepas ketiadaannya akibat pembedahan itu, pemain pertahanan B. Rajinikandh dipilih untuk memikul tugas tersebut.

``Dengan ketiadaan saya, saya rasa para pemain tidak menghadapi apa-apa masalah dan berharap mereka dapat bermain bermati-matian untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan menentang Perlis, Sabtu ini,'' tambahnya.

Sementara itu, Rajinikandh memberitahu, dia tidak mempunyai masalah untuk memikul tugas itu kerana pemain yang ada adalah penuh berpengalaman.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cx3ritlb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan