ARKIB : 01/05/2003
Oleh Johari Shawal
BURUAN Selangor untuk layak ke
Liga Super musim depan tambah sulit apabila pemain tonggak, Jaafar Salleh
digantung tiga perlawanan akibat berkelakuan ganas semasa perlawanan bola sepak
Liga Perdana Satu, minggu lalu.
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam
turut mendenda RM1,000 ke atas pemain itu.
Pengerusi jawatankuasa berkenaan,
Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Jaafar didapati bersalah oleh jawatankuasa kerana
bertindak ganas terhadap pengadil semasa perlawanan Perdana Satu antara
Selangor dengan Sabah di Stadium Shah Alam, 22 April lalu.
Dalam perlawanan itu, Jaafar
dilayangkan kad merah oleh pengadil dan pemain itu kemudian bertindak menendang
bola ke badan pengadil sebagai reaksi tidak puas hati.
Perlawanan itu berkesudahan seri
1-1.
Selepas tamat pusingan pertama,
Selangor kini di tangga kesembilan dalam liga dengan hanya mencatat tiga
kemenangan untuk mengumpul 13 mata.
Hanya enam pasukan teratas dari
Perdana Satu layak ke Liga Super tahun depan manakala baki semua pasukan di
bawahnya pula ke Liga Perdana.
Perak yang menjuarai pusingan
pertama turut berdepan situasi sukar untuk mengekalkan kejuaraan yang disandang
musim lalu apabila penyerangnya, Mohd. Khalid Jamlus digantung dua perlawanan.
Khalid, yang menjaringkan hatrik
semasa menewaskan Melaka 3-2 kelmarin, didapati bersalah kerana bertumbuk
dengan pemain Pulau Pinang, Chee Wan Hoe pada perlawanan Perdana Satu 22 April
lalu.
Wan Hoe turut digantung dua
perlawanan dan kedua-dua pemain juga didenda RM500.
Pemain Kelantan, Fatrurazi Rozi
juga digantung dua perlawanan dan denda RM500 kerana menerima kad merah semasa
perlawanan antara Kelantan dengan Kedah, 5 April lalu.
Dalam pada itu jurulatih Pulau
Pinang, Irfan Bakti digantung satu perlawanan dan denda RM1,500 kerana
mengganggu pegawai perlawanan semasa perlawanan Piala FA antara Pulau Pinang
dengan Perlis di Kangar, 19 Mac lalu.
Jurulatih TNB Kelantan,
Kamaruddin Mohd. Noor pula digantung sehingga beliau hadir bersemuka dengan
Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap
pegawai perlawanan semasa pasukannya bertemu SKMK Kelantan dalam aksi Perdana
Dua, 9 April lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cuT23S6u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan