Selasa, 13 Disember 2016

Asmawi Bakiri terkilan digugur

ARKIB : 16/12/1999
PEMAIN Pulau Pinang, Asmawi Bakiri yang digugurkan daripada pasukan ''Harimau Kumbang '' terkilan dengan bekas majikannya kerana tidak memaklumkan tentang hasrat untuk mengetepikannya musim depan.

''Memang kontrak saya tamat tahun ini tetapi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berilah tahu mereka tidak mahu lagi menyambung kontrak saya musim depan.

''Ini kerana saya sememangnya menaruh hajat besar untuk terus mewakili Pulau Pinang sekurang-kurangnya semusim lagi,'' katanya.

Asmawi bersama rakan-rakannya dari Selangor, penjaga gol Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan pemenang kasut emas Azman Adnan digugurkan bersama beberapa lagi pemain Pulau Pinang.

Asmawi yang mengetahui tentang penyingkirannya dari pasukan tersebut menerusi laporan akhbar terkejut kerana sepanjang mewakili Pulau Pinang, dia bermain dengan baik sehingga dikekalkan dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun, kata Asmawi, dia sanggup mempertimbangkan tawaran Pulau Pinang sekiranya FAP mengubah pendirian untuk memanggilnya semula.

''Saya sanggup kembali tetapi biarlah kena dengan syaratnya dan FAP perlu menghubungi saya untuk membincangkan perkara ini,'' tambah beliau.

Ditanya mengenai masa depannya, Asmawi berkata, dia belum memutuskan pasukan mana bakal disertai musim depan kerana ingin berehat terlebih dahulu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4Sm29F600 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan