Jumaat, 31 Mac 2017

Khairul berehat panjang


ARKIB : 29/05/2003
KETUA pasukan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan lutut menyifatkan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA sebagai membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Katanya, ini jelas membuktikan bahawa pasukan dari divisyen dua mampu melangkah ke perlawanan akhir dan berharapkan setiap pemain menunjukkan komitmen yang tinggi.

``Kejayaan memasuki perlawanan akhir Piala FA membuktikan langkah pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) memilih pemain-pemain yang ada sekarang begitu tepat sekali,'' katanya di Seremban semalam.

Malah Khairul yang pernah beraksi dalam skuad Rusa pada tahun 2000 hingga membawa Negeri Sembilan beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia menyifatkan pasukan Negeri Sembilan tahun ini adalah satu pasukan yang begitu mantap.

Jelasnya, skuad Rusa mampu mengalahkan pasukan-pasukan lain dalam divisyen satu musim ini.

Selepas ketiadaannya akibat pembedahan itu, pemain pertahanan B. Rajinikandh dipilih untuk memikul tugas tersebut.

``Dengan ketiadaan saya, saya rasa para pemain tidak menghadapi apa-apa masalah dan berharap mereka dapat bermain bermati-matian untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan menentang Perlis, Sabtu ini,'' tambahnya.

Sementara itu, Rajinikandh memberitahu, dia tidak mempunyai masalah untuk memikul tugas itu kerana pemain yang ada adalah penuh berpengalaman.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cx3ritlb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tengku Hazman bangga dapat bantu Perlis



ARKIB : 27/05/2003
KETIKA Selangor semakin terdesak untuk menduduki enam tempat teratas dalam kedudukan Liga Perdana Satu, bekas pemain tengah skuad Red Giants itu, Tengku Hazman Raja Hassan kini berbangga dapat membantu Perlis melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Selain menjadi tonggak membantu Red Giants membawa pulang Piala Malaysia kali ke-29 musim lalu, Tengku Hazman, 26, menyifatkan penyertaannya dalam skuad Singa Utara kali ini sungguh bermakna kerana dapat membantu pasukan itu layak ke Piala FA buat kali pertama.

Selain melahirkan kesyukuran kerana menimba pengalaman dengan pasukan baru musim ini, Tengku Hazman gembira kerana menerima pelawaan jurulatih Perlis, Norizan Bakar untuk mewakili skuad Singa Utara musim ini.

``Tidak sangka penyertaan saya ke dalam Perlis musim ini dapat membantu pasukan layak ke perlawanan akhir Piala FA,'' katanya ketika dihubungi sewaktu berada di Kota Bharu, semalam.

Selangor kehilangan beberapa pemain tonggak antaranya Azman Adnan, B. Rajinikandh, Yusri Che Lah, Lim Chan Yew, Mohd. Aiman Wong dan Azlisham Ibrahim kerana berhijrah ke negeri lain.

Pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 29 kali itu kini berdepan saat perit dalam kempen liga musim ini kerena prestasi pemain begitu merosot berbanding musim lalu.

Sementara Singa Utara yang menduduki tangga kedua Liga Malaysia selepas berakhir pusingan pertama lalu, boleh berbangga dengan kejayaan mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA selepas menewaskan Sarawak dengan agregat 5-3 pada 17 Mei lalu.

Biarpun tewas 1-0 kepada Terengganu dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga M Sabtu lalu, persiapan Perlis sedikitpun tidak terjejas untuk menghadapi final Piala FA hujung minggu ini.

Ini diakui sendiri oleh Tengku Hazman yang menyifatkan semua pemain Perlis kini bersedia untuk bermain bersungguh-sungguh dalam perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan.

``Pengalaman saya bersama Selangor akan digunakan untuk saya dan pasukan menghadapi Negeri Sembilan. Bagaimanapun, kami tetap menghormati skuad Rusa yang memiliki pemain ternama khususnya Azman, Aiman, Azlisham, Rajinikandh dan Chan Yew,'' ujar beliau.

Sambil menyifatkan keputusannya meninggalkan Selangor untuk mencari pengalaman baru di Perlis adalah berbaloi, Tengku Hazman berkata, peluang untuk beraksi di final Piala FA ialah sesuatu yang amat dinanti-nantikannya.

Pada perlawanan akhir Piala FA 2001 lalu antara Selangor dan Sarawak, Tengku Hazman tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan.

Selangor menjuarai piala tersebut setelah D. Surendran menjaringkan gol emas pada masa masa tambahan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada sokongan peminat bola sepak Perlis yang sentiasa menyokong Singa Utara, Tengku Hazman berjanji dia bersama rakan sepasukan akan memberi persembahan yang terbaik pada perlawanan akhir Sabtu ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cwzIhZJJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jaafar digantung tiga perlawanan - Selangor sukar ke Liga Super



ARKIB : 01/05/2003
Oleh Johari Shawal

BURUAN Selangor untuk layak ke Liga Super musim depan tambah sulit apabila pemain tonggak, Jaafar Salleh digantung tiga perlawanan akibat berkelakuan ganas semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu, minggu lalu.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam turut mendenda RM1,000 ke atas pemain itu.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Jaafar didapati bersalah oleh jawatankuasa kerana bertindak ganas terhadap pengadil semasa perlawanan Perdana Satu antara Selangor dengan Sabah di Stadium Shah Alam, 22 April lalu.

Dalam perlawanan itu, Jaafar dilayangkan kad merah oleh pengadil dan pemain itu kemudian bertindak menendang bola ke badan pengadil sebagai reaksi tidak puas hati.

Perlawanan itu berkesudahan seri 1-1.

Selepas tamat pusingan pertama, Selangor kini di tangga kesembilan dalam liga dengan hanya mencatat tiga kemenangan untuk mengumpul 13 mata.

Hanya enam pasukan teratas dari Perdana Satu layak ke Liga Super tahun depan manakala baki semua pasukan di bawahnya pula ke Liga Perdana.

Perak yang menjuarai pusingan pertama turut berdepan situasi sukar untuk mengekalkan kejuaraan yang disandang musim lalu apabila penyerangnya, Mohd. Khalid Jamlus digantung dua perlawanan.

Khalid, yang menjaringkan hatrik semasa menewaskan Melaka 3-2 kelmarin, didapati bersalah kerana bertumbuk dengan pemain Pulau Pinang, Chee Wan Hoe pada perlawanan Perdana Satu 22 April lalu.

Wan Hoe turut digantung dua perlawanan dan kedua-dua pemain juga didenda RM500.

Pemain Kelantan, Fatrurazi Rozi juga digantung dua perlawanan dan denda RM500 kerana menerima kad merah semasa perlawanan antara Kelantan dengan Kedah, 5 April lalu.

Dalam pada itu jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti digantung satu perlawanan dan denda RM1,500 kerana mengganggu pegawai perlawanan semasa perlawanan Piala FA antara Pulau Pinang dengan Perlis di Kangar, 19 Mac lalu.

Jurulatih TNB Kelantan, Kamaruddin Mohd. Noor pula digantung sehingga beliau hadir bersemuka dengan Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan semasa pasukannya bertemu SKMK Kelantan dalam aksi Perdana Dua, 9 April lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cuT23S6u
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 30 Mac 2017

Jangan layan pemain tolak wakili negara



28 Mac 2017 9:18 PM
KUALA LUMPUR 28 Mac - Pemain yang menolak panggilan mewakili skuad bola sepak kebangsaan tidak perlu lagi diberi peluang atau diterima semula dalam pasukan itu.
KHALID ALI

Bekas pemain negara era 1970an dan 1980an, Khalid Ali berkata, mereka yang menolak panggilan itu, perlu berasa kesal kerana tidak bersikap profesional dan bertanggungjawab untuk mewakili negara sebelum ini.

“Saya masih kecewa dengan tindakan pemain yang enggan beraksi di saat negara memerlukan khidmat mereka pada Piala AFF Suzuki 2016...mereka seolah-olah mempermainkan maruah negara,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. - BERNAMA

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-layan-pemain-tolak-wakili-negara-1.463088#ixzz4cnpIAMT6
© Utusan Melayu (M) Bhd