Selasa, 21 Mac 2017

Bantuan ringankan bebanan Yu Tiang



ARKIB : 30/03/2002
TENGKU ABDULLAH yang diringi oleh Dell Akhbar menyampaikan sumbangan FAM kepada Ong Yu Tiang di rumahnya di Kuala Lumpur, semalam.

LEBIH banyak perlawanan boa sepak amal akan diadakan untuk membantu meringankan beban bekas penjaga gol kebangsaan, Ong Yu Tiang yang menghidap Leukaemia.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, ia mungkin termasuk perlawanan antara Brazil dengan Malaysia, 26 Mei ini.

``FAM telah cadangkan beberapa perlawanan amal termasuk menentang artis tempatan untuk mengutip derma bagi Ong Yu Tiang.

``Kita juga mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) supaya mengadakan perlawanan yang sesuai untuk tujuan itu,'' kata Tengku Abdulah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Yu Tiang di rumahnya di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, beliau amat berharap peminat tempatan hadir beramai-ramai pada setiap perlawanan amal itu bagi menyatakan sokongan dan bantuan kepada Yu Tiang.

Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada kelab yang diwakili Yu Tiang ketika ini, Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang telah menganjurkan perlawanan amal sebelum ini.

``FAM juga akan menyalurkan bantuan kepadanya dalam sedikit waktu lagi,'' tambahnya.

Dalam pertemuan hampir setengah jam itu, Tengku Abdullah yang turut ditemani Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan, turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Yu Tiang.

Yu Tiang, 44, telah menabur bakti kepada negara dengan mewakili pasukan kebangsaan selama kira-kira 10 tahun.

Dia kini bertugas di sebuah syarikat peralatan sukan, Sunrise Sports memulakan karier bola sepak bersama Terengganu pada 1976-1979 dan Selangor 1980-1984.

Yu Tiang dikesan menghidap Acute Lymphoctic Leukaemia sejak awal bulan lalu dan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Dia kini terpaksa kerap berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang memerlukan kos perubatan tinggi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4byWvaOZw© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan