Isnin, 3 Disember 2018

Hadiah untuk Malaysia - Fakri


ARKIB : 12/12/2009
VIENTIANE - Kemenangan untuk rakyat Malaysia.

Itu kata penjaring gol kemenangan pasukan bola sepak Malaysia ketika mengalahkan Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A, semalam, Ahmad Fakri Saarani.

Jaringan tersebut yang membawa skuad bimbingan K. Rajagobal ke separuh akhir, amat bermakna buat Mohd. Fakri apatah lagi menumbangkan juara bertahan, Thailand.

"Kemenangan ini amat membanggakan dan sungguh bermakna. Saya seronok dan rasa berbaloi kerana setelah bermati-matian mencuba, mengasak, akhirnya kemenangan yang kita cari berjaya dicapai.

"Kemenangan ini untuk rakyat Malaysia yang mahu melihat kejayaan skuad bola sepak negara.

"Juga kemenangan ini untuk bapa saya, Saarani Hussein yang banyak memberi dorongan karier saya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan semalam, Thailand yang hanya perlu seri untuk ke separuh akhir, mendahului menerusi jaringan Arthit Sunthorphit pada minit ke-52.

Mohd. Nasriq Baharom menyalakan semangat para pemain apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 sebelum Ahmad Fakri menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia layak ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A di belakang Vietnam.

Mengulas permainan dengan Thailand, Ahmad Fakri, 20, berkata, dia kagum dengan semangat rakan sepasukan yang tidak mudah mengalah atau tertekan walaupun ketinggalan pada awal babak kedua.

"Sebelum perlawanan lagi kami sudah yakin untuk mengalahkan Thailand.

"Berbekalkan keyakinan itu, kami terus tenang dan mengatur serangan walaupun ketinggalan," katanya. - Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YgvkP2KJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Santokh tunjuk reaksi positif


ARKIB : 25/11/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Hampir seminggu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), kesihatan bekas pemain bola sepak kebangsaan Santokh Singh semakin baik.

Meskipun belum sedar sepenuhnya, Santokh yang membuat penampilan sebanyak 150 kali bersama skuad negara telah menunjukkan reaksi positif.

Isteri Santokh , Taljit Kaur yang ditemui, semalam berkata, keadaan suaminya lebih baik berbanding hari pertama dimasukkan ke ICU, Khamis lalu.

"Suami saya jatuh di rumah selepas selesai mengendalikan latihan untuk pemain muda kelab penyokong Arsenal Malaysia.

"Dia kemudiannya dihantar ke HKL dan ditahan di wad biasa. Namun, Khamis lalu, dia dimasukkan ke ICU. Kini keadaannya beransur pulih dan saya berharap dia kembali sihat seperti sedia kala," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Jelas Taljit, Santokh tidak pernah ditahan di hospital sebelum ini dan kejadian tersebut adalah kali pertama dilalui oleh suaminya yang kini berusia 57 tahun.

Katanya, suaminya itu masih mengamalkan kehidupan sihat dengan tidak merokok dan melakukan aktiviti senaman ringan, selain menjadi jurulatih bersama kelab penyokong Arsenal Malaysia.

"Dia hanya menghidap penyakit diabetes pada tahap rendah, tetapi tidak pernah ditahan di hospital," katanya sambil mengharapkan semua rakyat Malaysia mendoakan kesihatan suaminya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Amin yang ditemui ketika mengunjungi Santokh berkata, pihaknya bersedia membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh keluarga pemain ternama negara itu.

Katanya, FAS bersedia memberi apa sahaja sumbangan kepada Santokh yang pernah menyumbang bakti kepada pasukan Selangor selama 18 tahun.

"Sumbangan yang mungkin boleh diberikan oleh FAS adalah dari segi bantuan kewangan. Saya telah berbincang dengan isteri Santokh, Taljit cara yang boleh kami membantu keluarga tersebut," katanya yang turut ditemani Bendahari FAS, S. Siva Sundram.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5YdJRyJ00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Santokh masih koma kena jangkitan virus


ARKIB : 21/11/2009
KUALA LUMPUR - Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Santokh Singh (gambar) masih koma sejak pengsan di kediamannya empat hari lepas.

Santokh, 57, kini mendapat rawatan pakar di Unit Rawatan Rapi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) namun berada dalam keadaan stabil.

Isteri kepada pemain yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972 itu, Taljit Kaur berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit sebelum pengsan pada kira-kira pukul 11 pagi di kediamannya di Setapak, Isnin lalu.

"Sebelum ini saya lihat beliau begitu sihat malah sempat mengendalikan program kejurulatihan sehari sebelum itu," katanya kepada pemberita semalam.

Taljit berkata, sehingga kini doktor belum dapat mengenal pasti penyakit yang dihadapi suaminya namun doktor hanya maklumkan Santokh mengalami jangkitan virus.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Amin yang mengunjungi Santokh berkata, pengorbanan pemain di posisi pertahanan Malaysia pada era kegemilangannya pada tahun 70-an tidak ternilai dan berharap semua peminat bola sepak tempatan mendoakan agar Santokh segera sembuh.

Turut hadir melawat beliau ialah Bendahari FAS, S. Siva Sundram dan bekas rakan-rakan sepasukan yang pernah bersama beliau dalam skuad Selangor.

"Beliau bukan hanya legenda bola sepak bagi Selangor malah boleh dikatakan sebagai legenda bola sepak Malaysia yang telah banyak menyumbang jasa kepada negara.

"Bagi membantu Santokh, FAS akan berusaha untuk memberi semua kemudahan yang diperlukan oleh beliau dan keluarga sebagai tanda penghargaan bagi dirinya," katanya. - BERNAMA
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5YdFIFYDH
© Utusan Melayu (M) Bhd