Rabu, 31 Mei 2017

Chan Yew bakal cipta sejarah



ARKIB : 18/06/2005
Oleh AMRAN MULUP  
KUALA LUMPUR - Lim Chan Yew bakal memahatkan sejarah sebagai pemain bola sepak Malaysia yang pertama akan beraksi dalam Liga Divisyen Dua Inggeris musim depan.

Hanya sebelah kaki pemain pertahanan Public Bank itu sudah berada di England. Dia perlu melalui ujian terakhir selama dua minggu sebelum mendapat tawaran daripada kelab liga divisyen dua, Bournemouth FC.

Tiga hari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima surat panggilan daripada Bournemouth FC yang meminta Chan Yew, 28, melapor diri ke kelab itu pada 12 Julai ini.

Timbalan presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, kelab tersebut ingin membuat ujian terakhir ke atas pemain pertahanan Public Bank itu sebelum ditawarkan kontrak untuk musim depan.

Menurut beliau, Chan Yew diminta untuk beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan menentang dua pasukan daripada Liga Perdana Inggeris, Charlton dan Portsmouth manakala satu lagi pertemuan dengan Southampton.

``Ini adalah khabar gembira bukan sahaja buat FAM tetapi juga rakyat Malaysia.

``Chan Yew akan melalui ujian terakhirnya sebelum ditawarkan kontrak beraksi dalam Liga Divisyen Dua Inggeris.

``Ini bukan usaha FAM tetapi sebaliknya Bournemouth FC terpikat dengan aksi Chan Yew sewaktu dia menjalani ujian dengan dua lagi pemain kebangsaan Mac lalu,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco FAM yang dipengerusikan oleh presidennya, Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Dua lagi rakan Chan Yew iaitu penjaga gol, Syamsuri Mustafa dan Fadzli Saari yang turut mengikuti ujian pemilihan dengan kelab liga divisyen dua itu selama tiga minggu gagal mencuri perhatian Bournemouth.

Menurut Redzuan, Chan Yew akan berlepas ke England pada 12 Julai ini dan akan berada selama dua minggu menjalani latihan dan mengharungi perlawanan persahabatan yang diatur oleh Bournemouth.

Katanya, mesyuarat Exco yang bersidang telah bersetuju untuk menanggung semua perbelanjaan Chan Yew sewaktu dia bersama kelab itu selama dua minggu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4ieZvKOg6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan