Sabtu, 23 Julai 2016

Bakri Ibni pilihan Perlis


 

ARKIB : 12/01/1998
Bakri Ibni pilihan Perlis
ANAK JATI... Bakri Ibni dijangka mengambil alih kerusi panas yang ditinggalkan oleh Abdul Rahman Ibrahim sebagai jurulatih Perlis.

BEKAS pemain kebangsaan dan ketua pasukan Perlis, Bakri Ibni dijangka akan mengambil alih tugas Abdul Rahman Ibrahim selaku jurulatih skuad Singa Utara menjelang liga musim baru tahun ini.

Bakri yang pernah menerajui skuad berkenaan sehingga mencapai era kegemilangan dilaporkan sudah dihubungi oleh pegawai Persatuan Bola Sepak Perlis untuk memimpin pasukan berkenaan.

Beliau yang merupakan antara pemain terbaik barisan tengah negara pada era kegemilangannya dilihat sebagai calon terbaik untuk meneruskan perjuangan skuad Singa Utara.

Pemilihan Bakri untuk membawa cabaran Perlis dianggap kena pada tempatnya kerana rekod dahulu membuktikan beliau mampu meneruskan kegemilangan skuad berkenaan.

Beliau pernah menjadi pemain dan jurulatih pada satu masa untuk pasukan Perlis pada awal 80-an dan berjaya menaikkan nama pasukan berkenaan sehingga digelar Singa Utara.

Malah zamannya bersama Saidin Osman dan Ibrahim Saad membuatkan lawan mereka digeruni apabila berhadapan dengan pasukan berkenaan.

Bakri yang mempunyai lesen A dari England masih lagi aktif dengan bola sepak dan kini berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun difahamkan PFA sedang merujuk lesen A yang diperolehi oleh Bakri di England kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sama ada layak untuk menjadi jurulatih pasukan Perlis.

Namun Bakri akan bertindak sebagai pengarah kejurulatihan terlebih dahulu sekiranya lesen A yang ada tidak membolehkannya bertindak sebagai jurulatih.

Apa pun peperiksaan untuk lesen A oleh FAM dijangka dijalankan pada Mac ini dan Bakri dikira sempat untuk berbuat demikian bagi mengemudi skuad Perlis tahun ini.

Buat sementara waktu tugas melatih pasukan Perlis akan dipikul oleh penolong jurulatih, Norizan Bakar yang sudah memliliki lesen A daripada FAM, buat sementara waktu.

Pemilihan Bakri sebagai jurulatih Perlis pasti akan disambut dengan hati terbuka memandangkan pengalaman luas dalam arena bola sepak.

Malah jika ini berlaku, tampuk jurulatih Perlis akan kembali dipikul oleh anak jati setelah sekian lama dipegang orang luar.

Bagaimanapun selain Bakri, bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Hassan dan bekas jurulatih Kedah, Mostakeen Omar turut dikaitkan dengan skuad berkenaan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FExrccnT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan