ARKIB :
11/01/1998
DOLLAH SALLEH.
PEMAIN Malaysia
yang berhasrat bermain untuk Brunei dalam pertandingan Liga Perdana Satu musim
ini tidak akan dianggap sebagai pemain asing.
Setiausaha agung
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Paul Mony Samuel berkata dengan
peraturan baru itu, pemain Malaysia tidak akan terbabit dengan peraturan kuota
tiga pemain asing kerana mereka dianggap sebagai pemain tempatan.
''Kami mahu para
pemain kita bermain dengan pasukan luar yang menyertai liga kita. Tiada sekatan
dikenakan terhadap Brunei untuk mengambil pemain dari Malaysia,'' kata beliau
kepada pemberita di sini selepas majlis taklimat untuk pasukan-pasukan Liga M
di Kelana Jaya, semalam.
Adalah
difahamkan bahawa Brunei berminat dengan beberapa pemain dari Semananjung,
termasuk bekas pemain kebangsaan Dollah Salleh yang kini masih belum terikat
dengan sebarang pasukan.
Mengenai musim
baru yang akan bermula Mac ini, Mony berkata pertandingan kelayakan bagi
memilih dua lagi pasukan yang layak untuk menyertai liga Perdana Satu akan
berlangsung dari 8 hingga 21 Mac tetapi tuan rumah untuk pertandingan itu masih
belum ditentukan.
Liga Perdana
yang sedia ada akan dibahagikan kepada dua bahagian, dengan 12 pasukan dalam
Liga Perdana Satu dan lapan lagi di Liga Perdana Dua.
Sepuluh pasukan
yang bermain dalam pertandingan Piala Malaysia tahun lepas layak secara
automatik ke Perdana Satu manakala lima pasukan tercorot dalam Liga Perdana
1997 _ Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor dan Melaka akan bersaing untuk
dua lagi tempat bersama-sama pasukan Olimpik.
Empat lagi
pasukan untuk Perdana Dua ialah Polis, Angkatan Tentera, Negeri Sembilan
Chempaka dan PKN Johor. Juara Piala Malaysia Selangor akan bertemu juara Liga
Sarawak dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 28 Mac.
Mony berkata,
enam pasukan terbabit akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan mereka akan
bermain mengikut format liga. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan
menentang satu sama lain dengan juara dan naib juara akan dinaikkan ke Perdana
Satu.
Perdana Satu dan
Dua akan bermula pada 4 April dengan pertandingan Piala Malaysia akan bermula
pada 25 Sept. Perlawanan akhir akan diadakan pada 28 Nov.
Mony berkata
setiap pasukan boleh mendaftarkan 25 pemain, dengan 12 pemain profesional untuk
pasukan Perdana Satu dan enam untuk Perdana Dua. Tarikh tutup untuk pendaftaran
pemain ialah 28 Feb.
Mengenai
cadangan supaya perlawanan-perlawanan Piala Presiden diadakan sebelum
perlawanan Liga Perdana, Mony berkata tidak semua persatuan negeri bersetuju
dengan cadangan itu. FAM berpendapat ia akan dapat menjimatkan kos manakala
sesetengah persatuan negeri pula bimbang ia akan menjejaskan keadaan padang.
Mengenai
kedudukan Persatuan Bola Sepak Sabah (FAS) ekoran penyingkirannya daripada
Majlis Sukan Sabah, Mony berkata bahawa FAM dimaklumkan oleh para pegawai Sabah
bahawa mereka sedang mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu.
Mony juga
berkata gelanggang untuk pasukan Olimpik terpaksa diubah daripada Stadium
Kelana Jaya kerana ia sedang dinaikkan taraf untuk Sukan Komanwel.
Mony berkata
terdapat cadangan supaya sistem mata penalti dimansuhkan pada musim ini dan
menambah bahawa FAM mungkin menggantikannya dengan sistem lama iaitu hukuman
penggantungan satu perlawanan untuk setiap dua kad kuning yang dikutip.
Beliau juga
berkata jika Malaysia memutuskan untuk tidak menghantar pasukan bola sepak ke
Sukan Asia tahun ini, satu kejohanan antarabangsa, mungkin Kejohanan Piala
Merdeka akan dilangsungkan Disember ini untuk mengucapkan ''selamat tinggal''
kepada Stadium Merdeka. _ Bernama.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FEBn8xke
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan