Jumaat, 22 Julai 2016

Keputusan di tangan Idris, kata Pahang

ARKIB : 04/01/2000

KEPUTUSAN sama ada pemain tengah kebangsaan, Idris Karim akan mewakili Pahang atau tidak pada musim Liga Perdana Satu musim ini terletak kepada pemain itu sendiri.

Naib Presiden I Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Jamal Nasir Ismail semalam berkata, perkara itu terserah kepada Idris sendiri dan PBNP tidak akan memaksa dalam hal ini.

''Ini terserah kepadanya kerana dia masih mempunyai setahun kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ),'' kata Jamal ketika dihubungi di Kuantan, semalam.

Beliau berkata, PBNP juga tidak mahu bertelagah mengenai pelepasan pemain dengan mana-mana pihak, khususnya dengan PBNJ dalam hal ini.

Sebelum ini Jamal berkata PBNP tidak mahu mengundang masalah dan tidak akan menerima pemain tengah kebangsaan itu dalam skuad Liga Perdana Pahang sekiranya Idris tidak dilepaskan oleh PBNJ.

Beliau juga berkata, Pahang tidak pernah menyatakan hasrat bagi mendapatkan khidmat perancang tengah Terengganu, Badrul Hisham Abdullah seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Jamal, yang juga pengurus pasukan Liga Perdana Pahang tahun ini menggantikan Talib Suleiman, berkata Pahang sudah mempunyai pemain-pemain yang mampu untuk menggalas cabaran di bahagian tengah.

Antaranya ialah pemain kebangsaan Ahmad Shahruddin Rosdi, bekas pemain Perak Shahrin Majid dan pemain berpengalaman, Azaruddin Aziz. - Bernama

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4F8hKcAmA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan