Sabtu, 23 Julai 2016

Terengganu lebih pentingkan kualiti -- Kedudukan pemain lama belum selamat

ARKIB : 08/01/1998
 
ABDUL Rahman Ibrahim (kiri) memperkatakan sesuatu kepada pemain Terengganu pada sesi latihan yang bermula semalam di Kuala Terengganu.

JURULATIH Abdul Rahman Ibrahim menolak andaian yang mengatakan bahawa beliau mengambil keputusan kembali ke Terengganu hanya setelah ketiadaan Datuk Abu Bakar Daud dalam pentadbiran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) musim ini, lapor WAN ABD. RAHMAN HAYAT.

Katanya, perkhabaran yang mengatakan beliau bertelingkah dengan bekas Timbalan PBSNT itu juga adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

Katanya, beliau hanya pulang secara kebetulan dan pada masa yang sama Abu Bakar tidak lagi memimpin PBSNT.

Malah menurut Abdul Rahman, beliau masih memerlukan nasihat Abu Bakar dalam membimbing pasukan Terengganu musim ini.

Katanya lagi, pemergiannya ke Perlis bukan kerana membawa diri sebaliknya menerima tawaran negeri itu yang tidak mempunyai jurulatih lesen 'A'.

''Takkanlah bila dah berjaya saya begitu angkuh dan melupakan budi orang,'' katanya ketika ditemui pada sesi latihan kelmarin.

Pada latihan pertama itu, 10 pemain musim lalu menjalani latihan bersama beberapa pemain luar termasuk bekas pemain Sarawak Sapian Wahid dan bekas penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim.

''Saya iklas untuk pulang melatih Terengganu bukan disebabkan ketiadaan Abu Bakar atau sebab lain,'' tambahnya.

Abdul Rahman bimbang tanggapan itu akan memberi gambaran buruk tentang dirinya serta merenggangkan hubungannya dengan Abu Bakar.

Mengenai pemain, beliau berkata, mereka mempunyai peluang yang sama dan tidak perlu bimbang jika menunjukkan persembahan yang baik.

''Saya tidak akan mengamalkan sikap pilih kasih, siapa yang gagal bermain baik akan terima akibatnya,'' ujarnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak bercadang menghantar skuad Liga Perdananya mengadakan latihan di luar negera memandangkan masalah kewangan persatuan terbatas.

Setiausaha Agong PBSNT, Abdullah Salleh berkata sebaliknya Terengganu akan menumpukan perhatian dan latihan dalam negeri untuk memantapkan pasukan tahun ini.

''Pada masa lepas, kita menghantar pasukan berlatih di luar negara, tetapi tahun ini kita tidak dapat berbuat demikian kerana masalah kewangan yang terbatas,'' katanya.

Beliau berkata PBSNT tahun ini merancang untuk menjimatkan perbelanjaan dalam pelbagai aspek bagi mengelak persatuan daripada menghadapi sebarang masalah.

Abdullah berkata, Terengganu musim ini akan membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap dengan pemilihan pemain dibuat secara terperinci bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar berkualiti.

Abdullah berkata bekas pemain Melaka, Soffian Wahid dijangka akan menyarung jersi Terengganu musim ini.

Pemain-pemain lain yang disenaraikan Terengganu setakat ini ialah Tee Sin Kiat, Azlan Ismail, Zubir Ibrahim, Mohd Yusran Sharif, Azman Ismail, Afandi Abdul Rahman, Norharizan Awang, Mohf Fauzi Abdul Rahman, Mutapaha Kamal, Adnan Mohamad, Rosdi Talib, Badrul Hafzan, Mohamad Nazrin, Mansor Ismail, Azman Yusof, Wan Ahmad Riduan dan Badaruddin Ali serta dua pemain import Jean Nyima dan Seidu Issifu.

Beliau berkata Nyima pemain pertahanan daripada Cameroon dijangka tiba di Kuala Terengganu semalam untuk menyertai skuad Liga Perdana Terengganu manakala ketibaan Issifu belum dipastikan lagi.

Skuad Liga Perdana Terengganu, dibawah kendalian bekas jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim memulakan latihan pusat kelmarin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FDpKxNXY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan