Selasa, 21 Mac 2017

Derita Ong Yu Tiang dapat perhatian



ARKIB : 25/03/2002
PASUKAN yang terdiri daripada bekas pemain negara membincangkan strategi ketika bertemu pasukan Maxis Communication pada perlawanan amal bola sepak untuk Tabung Perubatan Ong Yu Tiang di Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC) di Ampang semalam. - Gambar GAIE UCHEL.

SEKURANG-kurangnya RM42,000 telah berjaya dikutip untuk mengisi tabung perubatan bekas penjaga gol kebangsaan, Ong Yu Tiang pada Perlawanan Bola Sepak Amal Ong Yu Tiang di Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC), Ampang semalam.

Presiden UKRC, Andrew Gopal berkata, UKRC setakat ini sudah mengumpul sejumlah RM10,000 sejak tabung membantu pemain itu dimulakan 2 Februari lalu.

``Kami menjangkakan kutipan hari ini adalah lebih kurang RM42,000 untuk menambah jumlah yang telah dikutip sebelum ini,'' katanya di UKRC semalam.

Yu Tiang, 44, kini sedang menerima rawatan untuk penyakit leukaemia di Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Beliau telah disahkan menghidap penyakit Acute Lymphocytic Leukaemia awal tahun ini.

Yu Tiang memulakan karier sebagai pemain bola sepak dengan mewakili Terengganu pada tahun 1976 hingga 1979 dan kemudian menyertai Selangor pada 1980 hingga 1984.

Dia juga merupakan anggota skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980, tetapi Malaysia memulaukan temasya itu.

``Sasaran UKRC untuk tabung itu ialah RM50,000 dan berharap ia akan dicapai pada Mac ini,'' katanya.

Andrew berkata, pada perlawanan amal hari ini (semalam) sekurang -kurangnya 700 penonton telah datang sejak pukul 3 petang untuk memberikan sokongan padu mereka.

``Antara aktiviti yang diadakan ialah dua perlawanan bola sepak.

``Perlawanan kemuncak ialah di antara bekas pemain kebangsaan yang turut melihat kelibat Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akhbar Khan, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan dengan syarikat Maxis Communication yang turut menyumbangkan RM5,000 untuk tabung itu,'' katanya.

Dan pada majlis itu, beberapa barang peribadi milik pemain kebangsaan turut dilelong kepada orang ramai untuk menambah kutipan derma untuk tabung itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Dell Akhbar Khan berkata, FAM akan menyalurkan bantuan kepada tabung itu dalam waktu terdekat ini.

``Kami kemungkinan akan menganjurkan perlawanan bola sepak amal seperti hari ini (semalam) untuk membantu Yu Tiang,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4byLtsZg2© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan