ARKIB : 11/07/2002
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
(Wartawan Utusan)
BOLA sepak Piala Dunia 2002 yang
turut menjadi `pasar jual beli jaguh' baru sahaja berakhir.
Perang sukan nombor satu dunia
itu menyaksikan Brazil juara. Peminat serata dunia melihat temasya di Jepun dan
Korea itu menerusi televisyen.
Warga Malaysia juga tidak
ketinggalan. Apabila tamatnya temasya itu, terlalu banyak pandangan diutarakan,
termasuk mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meniru cara Jepun dan Korea
dalam arena bola sepak.
Namun begitu, terlalu ramai yang
lupa bahawa hari ini (11 Julai) genaplah 11 tahun kematian Allahyarham Mokhtar
Dahari. Legenda bola sepak Malaysia itu meninggal dunia 11 Julai 1991.
Hasil perkongsian hidup dengan
Tengku Zarina Tengku Ibrahim, pasangan ini dikurniakan tiga anak, termasuk yang
sulung dinamakan Mohd. Redha.
Pemain yang popular dengan jersi
nombor 10 itu menyedari penyakitnya (Mascular Dystrophy) pada November 1988.
Penyakit yang menyebabkan Mokhtar lemah atau tidak bermaya. Apabila berjalan
terhuyung-hayang.
Mascular Dystrophy adalah
penyakit gangguan otot dan saraf. Mengikut kamus perubatan, mascular dystrophy
ialah sejenis penyakit keturunan.
Apabila menyebut nama Mokhtar
Dahari, pasti peminat bola sepak lama turut terkenang kehebatan rakan tersohor
dengannya, termasuk Soh Chin Aun (ketua pasukan Malaysia), Santokh Singh, James
Wong, Hassan Sani, Chow Chee Keong, R. Arumugam (penjaga gol), Shukur Salleh
dan Khalid Ali.
Menyebut kehebatan Mokhtar atau
`Supermokh' pasti orang lama teringat kehebatan beliau menjaringkan satu gol
dari jarak 40 meter, sehingga mengejutkan penjaga gol England B, Joe Corrigan
di Stadium Merdeka.
Persoalan sekarang, siapakah
rakyat Malaysia atau pemain negara yang boleh mencecah nama sehebat Mokhtar
Dahari?
Apabila perkara itu dipersoalkan,
tentu kita menuntut jawapan daripada FAM. Jawapan yang cukup kuat dan boleh
dibanggakan.
Jawapan tersebut pula bukan
sekadar menyatakan FAM telah berjaya mewujudkan Liga Semi-Pro, kemudian Liga
Profesional yang turut membuka ruang membeli pemain dan jurulatih import.
Jika jawapan sedemikian ternyata
tidak kukuh, terutama apabila terlalu ramai pemain Liga Semi-Pro yang menjual
perlawanan atau telah menjadualkan keputusan pertandingan.
Masalah menjual perlawanan itu
perkara lama. Kita tumpukan pula kepada Liga Profesional. Berapa ramai pemain
hebat yang berjaya dilahirkan?
Mungkin terlalu sukar melahirkan
sehebat `Supermokh', memadailah selincah Zainal Abidin Hassan (Selangor), Azman
Adnan (Selangor) dan Hashim Mustapha (Kelantan) yang dikenali sebagai `penembak
tepat' ke gol lawan sehingga dianugerahkan Kasut Emas.
FAM perlu menjawab persoalan ini.
Satu lagi pertanyaan, adakah FAM pernah melakukan sekurang-kurangnya setahun
sekali majlis tahlil untuk Allahyarham Mokhtar Dahari.
Radio Televisyen Malaysia (RTM)
pula perlu menayangkan rakaman perlawanan-perlawanan penting yang melibatkan
Mokhtar Dahari. Tayangan tersebut mustahak bagi menanam semangat juang yang
tinggi kepada generasi muda untuk mencapai ke tahap itu. Mungkin RTM telah
melupuskan khazanah berharga itu?
Jika RTM telah
`membakulsampahkan' khazanah berkenaan, memadailah mengenang jasa Mokhtar
Dahari dengan memuatkannya menerusi slot Hari Ini Dalam Sejarah.
Sebenarnya, terlalu panjang dan
padat sejarah kegemilangan Mokhtar Dahari. Keterangan terperincinya termuat
dalam buku khas berjudul Mokhtar Dahari Lebih Satu Dekad Bergelumang Dengan
Bola Sepak terbitan Kumpulan Utusan pada 1989.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4cE8HVypQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan