ARKIB : 18/03/2003
PENJAGA gol utama negara, Azmin
Azram Abdul Aziz dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik MALAYSIA bagi musim 2002
untuk menerima trofi Oliver Kahn.
Pemain Selangor berusia 27
tahun itu meraih enam daripada tujuh undi oleh para jurulatih dan jurulatih
penjaga gol di Malaysia, mengalahkan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul
Azman Mohamad dari Sabah dengan satu undi.
Anugerah itu disampaikan oleh
bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Holger Obermann
yang kini bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), di Wisma
FAM, Kelana Jaya, semalam.
Turut hadir Penolong Setiausaha
Agung FAM, Datuk Yap Nyim Keong dan Pengarah Urusan Adidas (M) Sdn. Bhd.,
Andreas Gellner.
Azmin turut menerima sijil
pengiktirafan yang ditandatangani oleh Kahn serta jersi penjaga gol Jerman itu
yang dipakai dalam kelab Bayern Munich.
Anugerah itu juga serentak
dengan pelancaran Sekolah Penjaga Gol Antarabangsa Malaysia yang diusahakan
oleh FAM dan PBNP.
Azmin, yang beraksi cemerlang
membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia musim lalu, melahirkan rasa
gembira dengan anugerah itu.
``Ia adalah satu penghargaan
tinggi buat saya yang menguatkan lagi semangat saya untuk bermain lebih baik,''
kata Azmin yang memberitahu aksi terbaiknya ialah ketika Malaysia menentang
pasukan kebangsaan Brazil dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil, Mei lalu.
Brazil yang dibarisi bintang
dunia termasuk Ronaldo, Rivaldo, Ronaldinho dan Roberto Carlos, menang 4-0
dalam perlawanan itu.
Penampilan sulung Azmin dalam
skuad kebangsaan ialah pada Kejohanan Piala Tiger di Vietnam pada 1998.
Bagaimanapun, dia lebih banyak berada di bangku simpanan, menjadi penjaga gol
kedua atau ketiga di belakang Khairul Azman dan Mazlan Wahid.
``Sudah lama saya berusaha
untuk menjadi penjaga gol utama negara tetapi semua kerja keras saya akhirnya
berjaya dan dengan penerimaan anugerah ini, saya akan pastikan akan kekal untuk
beberapa tahun akan datang,'' katanya.
Sementara itu, Sekolah Penjaga
Gol yang diusahakan oleh Obermann turut bermula semalam.
Obermann berkata, program itu
yang mana Kahn menjadi penasihat teknikalnya, melibatkan 20 peserta di kalangan
penjaga gol dan jurulatih yang berlangsung 17 hingga 20 Mac di Kuantan.
``Kami mahu pastikan sekolah
ini disertai bukan sahaja peserta dari MALAYSIA tetapi dari sekitar rantau
Asia,'' katanya.
Menurut Obermann, program itu
akan diadakan sebanyak 12 sesi setahun yang dikategorikan kepada jurulatih
tahap A dan tahap B.
``Oliver juga melahirkan rasa
bangga dengan penubuhan kelab ini dan menyatakan keinginan untuk hadir dan
mencurahkan pengalamannya,'' kata Obermann.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cjKXlXdy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan