Jumaat, 5 Mei 2017

Saya hilangkan diri cari ketenangan - Hasmawi

ARKIB : 24/12/2004

HASMAWI Hassan mencium pipi ibunya di rumah mereka di Machang Bubok, Bukit Mertajam, semalam.


BUKIT MERTAJAM 23 Dis. - Setelah enam hari menghilangkan diri, penyerang pasukan bola sepak Kedah Hasmawi Hassan yang menimbulkan kontroversi apabila membatalkan perkahwinannya pada saat-saat akhir Sabtu lalu, keluar daripada `persembunyiannya' hari ini.
Hasmawi, 23, yang muncul di rumah keluarganya di Machang Bubok di sini berkata, beliau menghilangkan diri kerana mencari ketenangan setelah menerima tekanan daripada pelbagai pihak.
Hasmawi berkata, beliau akan menjelaskan punca beliau mengambil keputusan membatalkan majlis pernikahannya dengan Norlida Abdul Rahman dari Kluang, Johor, di mahkamah nanti.
``Jumpa saya di mahkamah, saya akan ceritakan semuanya. Saya menghilangkan diri kerana mencari ketenangan,'' katanya kepada pemberita di rumah ibu bapanya di sini.
Hasmawi mencetuskan kontroversi Sabtu lalu apabila membatalkan pernikahan dengan Norlida, 23, pada saat-saat akhir, sekali gus menarik perhatian pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib Norlida.
Pada 18 Disember lepas, Norlida, seorang jururawat terpaksa melupakan majlis pernikahan dan persandingan apabila Hasmawi memutuskan pertunangan mereka kira-kira 19 jam sebelum majlis perkahwinan berlangsung.
Berikutan itu, Norlida semalam memfailkan saman terhadap Hasmawi bagi menuntut ganti rugi khas berjumlah RM25,470 kerana mungkir janji untuk berkahwin pada 18 Disember lepas.
Ganti rugi itu tidak termasuk ganti rugi am, faedah lapan peratus setahun untuk ganti rugi am dari tarikh penyampaian saman dan pernyataan tuntutan hingga ke tarikh penghakiman serta empat peratus setahun bagi ganti rugi khas berkuat kuasa 18 Disember lalu.
Semalam juga bapa Hasmawi, Hassan Ismail, 56, tampil mendakwa anaknya `terkena buatan orang' dan perlu menjalani rawatan tradisional.
Hasmawi yang kelihatan tenang sepanjang perbualan hari ini memberitahu, beliau tidak akan menemui Norlida untuk menjelaskan keadaan kerana ia kini kes mahkamah.
``Kalau saya pergi jumpa pun tidak ada guna kerana sekarang perkara ini sudah menjadi kes mahkamah,'' katanya yang memakai baju-T dan pertama kali membuka mulut untuk menjelaskan kontroversi itu kepada umum selepas menghilangkan diri.
Mengenai tuduhan `dayus' yang dilemparkan kepada beliau disebabkan kegagalannya hadir berjumpa dengan keluarga Norlida, Hasmawi berkata:
``Masyarakat membuat kesimpulan sendiri tetapi mereka akan tahu kebenarannya nanti.
``Sebelum ini saya telah memaklumkan mengenai pembatalan majlis perkahwinan itu lebih awal ketika menghubungi Norlida dan bukan hanya melalui SMS semata-mata pada saat-saat akhir seperti didakwa.''
Hasmawi juga berkata, beliau akan tetap menghadiri majlis jamuan makan dan doa selamat yang dijadual diadakan di rumahnya pada Sabtu ini sebagai menggantikan majlis perkahwinannya dengan Norlida.
Menurut Hasmawi, beliau tidak mahu bercakap lagi mengenai perkara itu kepada umum termasuk wartawan dan meminta semua pihak menunggu sahaja kes berkenaan di mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan