Khamis, 10 November 2016

Ahmad Sobri sedia bermain musim depan

ARKIB : 04/12/1998
SEMANGAT masih kental bagi penjaga gol berpengalaman, Ahmad Sobri Ismail dan tonggak pertahanan Manja Man untuk terus memberikan aksi terbaik jika diberi kesempatan pada musim depan.

Sewaktu rakan-rakan ''seperjuangan'' mendapat tempat lebih awal dalam pasukan negeri, Ahmad Sobri disisihkan daripada skuad Pulau Pinang manakala Manja masih belum menerima kontrak baru dengan Perlis.

Di sebalik penggugurannya, Ahmad Sobri yakin masih dapat memberikan aksi terbaik sekiranya ada pasukan negeri lain yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Ahmad Sobri berkata, ini kerana dia masih boleh bermain dengan baik sebagaimana aksi yang ditunjukkan pada musim- musim lalu.

''Prestasi saya masih baik, malah cukup bersedia untuk bermain dengan mana-mana pasukan pada musim depan,'' kata Ahmad Sobri.

Ahmad Sobri mengakui bahawa dia pernah dipelawa untuk bermain dengan kelab di Singapura tetapi lebih berminat menyumbangkan baktinya dengan mana-mana pasukan di negara ini.

Sementara Manja pula memberitahu, dia masih berkemampuan untuk beraksi dengan Perlis sekiranya pihak persatuan bola sepak negeri menyambung kontraknya.

''Saya sedia untuk bermain jika ada tawaran musim depan tetapi itu bergantung kepada keputusan persatuan bola sepak negeri.

''Sebagai pemain profesional, saya perlu menghadapi apa juga keputusan yang akan diambil mengenai masa depan saya.'' tambah Manja.

Kedua-dua pemain tersebut bersama pemain Selangor, Zainal Abidin Hassan, K. Gunalan dan tonggak Pulau Pinang, Ooi Hoe Guan memanfaat ''cuti'' musim ini dengan mengikuti kursus jurulatih di Pulau Pinang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PbgyPmsu © Utusan Melayu (M) Bhd