Jumaat, 29 April 2016

Shahrul yakin Perak atasi PKNS

Kuala Lumpur: Pemain tengah Perak Shahrul Saad percaya mereka mampu mengakhiri impian untuk menjejak kaki ke pentas final Piala FA buat kali pertama sejak 2005 dengan menyingkirkan PKNS di gelanggang sendiri Sabtu ini.

Bekas pemain Harimau Muda A dan FELDA United itu berkata, keputusan seri 2-2 pada separuh akhir pertama di Stadium Hang Jebat Melaka 15 April lalu memberi sedikit kelebihan buat mereka.


“Jika dilihat Perak dalam prestasi terbaik ketika ini cuma ada sedikit masalah kecederaan pemain. Apa yang penting kami tidak boleh memandang rendah keupayaan PKNS sebab bila sudah sampai ke separuh akhir, ia situasi yang berbeza dan semua pasukan memiliki peluang seimbang.

“Saya percaya jika kami boleh berikan aksi terbaik, sudah pasti impian ke final semula akan tercapai,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Perak yang dikendalikan abangnya, Syamsul Saad kini di prestasi terbaik apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam Liga Super termasuk mengejutkan pendahulu FELDA United 3-2 Ahad lalu.

Namun mereka perlu berhati-hati dengan ancaman PKNS khususnya bahagian serangan yang diterajui Gabriel Guerra.

“Memang PKNS pasukan yang bagus terutama bahagian serangan mereka, jadi kami perlu berhati-hati,” kata Shahrul.

Shahrul bagaimanapun mengharapkan kecederaan pangkal paha yang dialami kembali sembuh untuk beraksi dalam perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:48 AM
 
SHAHRUL (kanan) idam ke final.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/133872#sthash.384kOuS0.dpuf

Khamis, 28 April 2016

‘Sekadar hiburan semata-mata’


 
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
AKMAL RIZAL menyifatkan golongan muda lebih berminat menyaksikan perlawanan berbanding turun padang bermain bola sepak.

BEKAS penyerang RC Strasbourg, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyifatkan punca ketandusan pemain-pemain berpotensi muda disebabkan golongan ini masih belum dapat merasai ‘budaya’ serta ‘jiwa’ sebenar bola sepak.

Ini kerana Akmal Rizal membe­ritahu, bola sepak Malaysia masih belum mencapai standard ‘budaya’ sebaliknya ia lebih berbentuk hiburan kepada generasi muda tempatan.

Bekas pemain Kedah dan Sarawak itu tanpa berselindung mengakui sedikit kecewa kerana golongan muda kini lebih berminat untuk menyaksikan perlawanan berbanding turun ke padang untuk bermain bola sepak.

“Sukan bola sepak Malaysia masih bukan lagi (menjadi) budaya tetapi ia lebih kepada hiburan semata-mata.

“Di Malaysia, bola sepak adalah hiburan No. 1 dan mungkin itulah salah satu sebab mengapa budak-budak muda masih tidak nampak lagi potensi sebenar menjadi seorang pemain bertaraf profesional,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, setiap pemain harus memasang impian untuk beraksi pada tahap lebih tertinggi selain belajar untuk menambah ilmu, bukan hanya kepada bola sepak, sebaliknya pengetahuan am.

Katanya, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memastikan minat generasi muda untuk menjadikan bola sepak sebagai karier yang menjamin.

“Saya fikir kena ada seorang pemain contoh yang berjaya berkelana di luar negara dan sehingga kini belum ada lagi mana-mana pemain mampu berbuat demikian.

“Sebagai pemain bola sepak, kita harus menanam cita-cita lebih tinggi untuk bermain. Yang penting adalah sokongan ahli keluarga.

“Selagi tiada budaya bola sepak, selagi itu kita tidak akan nampak pertumbuhan generasi muda untuk bermain bola sepak yang mana mereka kini lebih cenderung untuk menyaksikan bola sahaja,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz476hLp7tx Hakcipta terpelihara

Selasa, 26 April 2016

Selangor lega benteng ampuh

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  26 April 2016 12:13 AM
 ZAINAL ABIDIN HASSAN (dua dari kiri) bersalaman dengan Frank Muescan
ZAINAL ABIDIN HASSAN (dua dari kiri) bersalaman dengan Frank Muescan (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Kepong , semalam. Turut kelihatan kapten kedua pasukan, Shahrom Kalam (kiri) dan Juan Luis Guirado. Utusan/Zakaria Idris
KUALA LUMPUR 25 April – Benteng Selangor yang kebal dalam dua perlawanan terakhir melegakan jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan apabila mene­rima kunjungan pendahulu Kumpulan E, Ceres FC dalam saingan Piala AFC esok.
Namun, ketumpulan jentera serangan sedikit meresahkan juara Piala Malaysia itu kerana Red Giants perlu mencari gol bagi mendapatkan tiga mata dalam aksi di Stadium Majlis Pembandaran Selayang.
“Selepas kerap dibolosi dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, Selangor menekankan tumpuan kepada aspek pertahanan.
“Ia amat berkesan dalam dua perlawanan terakhir apabila kami tidak dibolosi (menang 1-0 ke atas Pulau Pinang dan seri 0-0 dengan PDRM).
“Namun bahagian serangan kurang menyerlah. Kegagalan mencipta gol akan memberi masalah kerana tanpa gol sukar untuk meraih kemena­ngan.
“Misi esok adalah menang atau bakal berdepan kesukaran untuk ke peringkat seterus­nya,” kata Zainal.
Selangor bakal ber­aksi tanpa pemain sayap, R. Gopinathan dan bek te­ngah, Mohd. Razman Ros­lan yang cedera.
Red Giants kini menghuni tangga ketiga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri serta satu kekalahan.
Dalam pertemuan pertama dengan Ceres di Bacolod pada 23 Februari lalu, kedua-dua pasukan seri 2-2.
Sementara itu, jurulatih Ceres, Frank Muescan berkata, biarpun menghormati Sela­ngor, namun dia optimis mampu mengejutkan tuan rumah.
“Saingan Kumpulan E sa­ngat sengit dan kami ha­nya dipisahkan dengan satu mata di depan Selangor serta Tam­pines (Singapura), jadi kami perlu menang esok.
“Selangor pasukan yang kuat, namun kemenangan 2-1 ke atas Tampines dua minggu lalu memberi keyakinan kepada kami,” kata Muescan.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selangor-lega-benteng-ampuh-1.290981#sthash.7pmUbhUL.dpuf

Jumaat, 22 April 2016

FAM: Indra Putra tidak akan didakwa

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
8 Oktober 2013
indra
indra
PEMAIN Kelantan, Indra Putra Mahayuddin mampu menarik nafas lega apabila beliau tidak akan dikenakan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan insiden menyiku penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Indra Putra tidak akan didakwa apabila tiada laporan yang diterima pihaknya daripada pegawai perlawanan mengenai insiden tersebut.

"Laporan mengenai perlawanan tersebut saya sudah terima semalam (Isnin) tetapi laporan untuk insiden itu tiada.

"Malah laporan dari kedua-dua pasukan juga tidak diterima, jadi setakat ini tiada apa tindakan yang akan diambil kepada Indra Putra.

"Bagaimanapun, sekiranya ada laporan selepas ini kita akan melihat berdasarkan peraturan yang ada kerana kita perlu adil kepada kedua-dua pihak. Namun setakat ini tiada kes atau laporan," katanya selepas sidang media mengenai Persiapan Harimau Muda A ke Sukan Sea di Wisma FAM, hari ini.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini melaporkan Indra Putra bakal berdepan tindakan FAM selepas dia didakwa menyiku Norshahrul ketika pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV.

Ekoran insiden itu, pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu mengalami kecederaan hidung dan terpaksa mendapatkan rawatan susulan.

Malah difahamkan kecederaan yang menimpa Norshahrul mungkin lebih serius daripada yang dijangka selepas dia difahamkan tidak berlepas ke Shenzhen, China bersama Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu.

Bagaimanapun, penyerang Kelantan itu menafikan dia sengaja menyiku muka Norshahrul mahupun menyimpan niat jahat untuk mencederakan bekas pemain The Red Warriors (TRW) itu.

Indra Putra berkata, sebagai pemain profesional, dia menghormati peraturan bola sepak negara dan sedar sebarang kekasaran yang dilakukan secara sengaja boleh mengundang padah.

RUJUKAN:SINAR HARIAN ONLINE 8.10.13

Pantau rawatan Wan Zack

Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor tiba di tanah air semalam dari Jepun selepas mendapat kebenaran kelabnya FC Ryukyu untuk mendapatkan rawatan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya ketika sesi latihan Selasa lalu.
Perkara itu disahkan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yang mahu pemain berusia 22 tahun itu menjalani rawatan rapi segera di negara ini untuk mengetahui sejauh mana tahap kecederaan itu.
“Zack (Wan Zack Haikal) sudah sampai di Kuala Lumpur tadi (semalam) dan dia akan menjalani ujian pemeriksaan dengan doktor pakar esok (hari ini) bagi mengetahui lebih lanjut tahap kecederaan dialaminya. Dia kembali ke sini atas permintaannya sendiri dan mendapat kebenaran pihak FC Ryukyu.

“Pada saya lebih baik dia menjalani rawatan di sini kerana memudahkan kami untuk memantau keadaannya dan kita juga mempunyai doktor pakar bagi rawatan pemulihan nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Foto
KIM Swee berpendapat lebih elok Wan Zack terima rawatan di Malaysia.

Kecederaan Wan Zack Haikal memberikan perkhabaran buruk buat skuad kebangsaan yang mengharapkan pemain sayap lincah itu akan dapat beraksi bersama bagi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Shenzen, China 9 Oktober ini sebelum menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober di Stadium Shah Alam.

Mengikut laporan awal, kecederaan ACL itu bakal menyebabkan pemain kelahiran Maran, Pahang itu tidak dapat beraksi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sekali gus menyaksikan peluangnya untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini lebur.

Menurut Kim Swee, Wan Zack Haikal akan menjalani rawatan di Malaysia hingga pulih sepenuhnya dan pengendali itu masih mengharapkan keajaiban agar pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka itu dapat bersama skuad negara ke Myanmar bagi misi mempertahankan pingat emas.

“Dia akan berada di sini hingga betul-betul sembuh. Walaupun dia dibenarkan pulang, gaji dan segala perbelanjaan rawatan ditanggung kelabnya. Kita tunggu dulu laporan doktor dan selepas itu baru kita boleh tahu sama ada dia boleh bermain (Sukan SEA) atau tidak,” katanya.

Wan Zack Haikal menandatangani kontrak dua tahun dengan FC Ryukyu yang juga kelab bahagian tiga Jepun, Mac lalu bersama dengan seorang lagi pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim yang kini masih kekal bersama kelab itu hingga kontraknya tamat hujung tahun ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Harimau hilang Wan Zack

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Gambar Wan Zack atas kerusi roda yang diperoleh dalam akaun Twitter pemain itu. 
KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya mahupun Harimau Muda menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan kecederaan bintang muda, Wan Zack Haikal Wan Nor.
Wan Zack mendapat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) semasa menjalani latihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Jepun, semalam yang akan merehatkannya selama sembilan bulan untuk pulih.
Lebih malang, berita sedih itu muncul menjelang kelayakan Piala Asia 2015 dan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada tahun ini.
Perkara yang menimpa pemain kebangsaan itu disahkan sendiri melalui akaun Twitter Wan Zack.
Ketiadaan pemain berusia 22 tahun dari Maran, Pahang itu pasti akan menjejaskan sebahagian besar kekuatan Harimau Malaya dan Harimau Muda.
Pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka 2013 edisi ke-41 itu dilihat seperti sukar menerima hakikat apabila dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya mengenai kecederaan ACL itu sehingga mendorongnya meminta maaf kepada semua peminat.
Orang yang mungkin paling merasai ketiadaan Wan Zack sudah tentu pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, yang telah dihubungi Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu, Sotaro Shinoda tetapi beliau mahu menunggu laporan perubatan secara rasmi sebelum berkata apa-apa.
''Buat masa ini saya tidak boleh mengatakan Wan Zack telah terkeluar daripada perancangan saya untuk ke Sukan SEA 2013 di Myanmar walaupun memang saya akui dia memiliki peluang tipis jika benar dia mendapat kecederaan ACL.
"Bagaimanapun, saya mahu menunggu terlebih dahulu laporan penuh berhubung status kecederaan Wan Zack dari pihak FC Ryukyu dan kita akan umumkan status Wan Zack dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, semalam.
Malah, beliau juga komited untuk membawa pulang Wan Zack ke Malaysia dari Okiniwa, Jepun, namun perlu mengadakan perbincangan mendalam dengan pihak pengurusan Ryukyu.
"Kita tidak boleh sesuka hati membawa Wan Zack pulang ke sini kerana dia adalah pemain yang mempunyai kontrak dengan FC Ryukyu, jadi kita perlu menghormati majikannya, " katanya.
Berita mengenai kecederaan Wan Zack juga mengundang resah kepada jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang berdepan misi penting menentang Bahrain pada 15 Oktober ini di Stadium Shah Alam selain perlawanan persahabatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Isnin depan di Shenzhen, China.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131002/su_01/Harimau-hilang-Wan-Zack#ixzz2gfQymnJj© Utusan Melayu (M) Bhd

Nik Shahrul, Azrif sedia rantai Myanmar

KUANTAN - Dua nadi kubu pertahanan Harimau Muda, Nik Mohd. Shahrul Azim dan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mahu memastikan Myanmar berputih mata pada pentas akhir Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Tidak gerun dengan reputasi gah yang ada pada barisan serangan Myanmar yang akan diterajui Kyaw Ko Ko dan Kyi Lin, mereka berdua akan sedaya upaya mengekang kelincahan pasukan lawan sambil menegaskan tidak rela melihat pintu gol sendiri dibolosi bagi memastikan trofi Pestabola Merdeka kekal di tanah air sendiri.
Menurut Nik Shahrul, aksi dengan Myanmar pada peringkat kumpulan akan dijadikan panduan utama walaupun aksi di perlawanan akhir mungkin sedikit berbeza di samping lawan pasti akan menggunakan pendekatan baru bagi menghadapi tuan rumah.
"Pada perlawanan akhir ini, saya yakin kami semua di bahagian pertahanan mampu beraksi lagi baik dan akan cuba memastikan Myanmar tidak membolosi gawang kami.
"Myanmar membuktikan mereka ada kualiti tersendiri di bahagian serangan dan kami tidak boleh sedikit pun bersikap sambil lewa dalam sepanjang permainan, jika tidak kami boleh dihukum.
"Persefahaman saya dengan pemain-pemain Harimau Muda juga semakin baik walaupun pada awalnya sedikit kekok dan sekarang tiada masalah lagi, saya sudah tahu cara permainan rakan-rakan yang lain," katanya ketika ditemui, semalam.
Nik Shahrul yang juga pertahanan Kelantan adalah salah seorang pemain yang diberi pelepasan oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal selain Junior Eldstal bagi membantu Harimau Muda dalam saingan Pestabola Merdeka 2013.

Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130914/su_04/Nik-Shahrul-Azrif-sedia-rantai-Myanmar#ixzz2epmL3yR5© Utusan Melayu (M) Bhd

Safiq Rahim tetap positif

SABTU, 26 MAC 2016 @ 3:16 PM 
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bharian.com.my 
KAPTEN pasukan negara, Safiq Rahim (kiri). - Foto Owee Ah Chun MELAKA: Perancang tengah yang juga kapten pasukan negara, Safiq Rahim tetap positif walaupun pasukan negara tewas di tangan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, Jumaat lalu.

       Menurutnya, kekalahan berkenaan memberi pengalaman dan menyuntik kematangan permainan terutama berdepan lawan gah di Asia itu. Katanya, berjaya mengekang tuan rumah serta bertindak cemerlang dengan semangat juang tinggi jelas memberi suntikan moral buat pasukan negara untuk berdepan Macau pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Selasa ini.

      Beliau berkata, walaupun ranking pasukan pelawat berada di bawah Harimau Malaysia namun ia tidak harus dipandang mudah kerana kedudukan itu tidak akan selamat jika komitmen tinggi tidak dipersembahkan. "Ranking tidak memberi makna dalam perlawanan ini, jika menganggap lawan bukan pencabar hebat, kerana sesebuah pasukan yang memiliki perbezaan jauh dalam ranking juga boleh mengejutkan mana-mana lawan pada aksi sebenar. "Malah pasukan negara hanya tewas 0-2 kepada Arab Saudi juga tidak menggambarkan kekuatan sebenar berikutan jika diukur standard tentu mereka boleh menang besar ke atas kita terutama jika ranking di ambil kira," katanya selepas sesi latihan ringan pemain negara di Bandar Hilir, sebentar tadi.

        Safiq berkata, dia dan rakan-rakan akan beraksi dengan penuh komitmen dalam memastikan kemenangan pasukan negara pada pertemuan terbabit. "Buat satu ketika kami perlu melupakan play-off kelayakan Piala Asia sambil memberi fokus terhadap saingan berdepan Macau. "Bukan melupakan terus saingan play-off dijadualkan Jun depan itu namun kami mahu tumpuan terarah kepada satu perlawanan demi satu perlawanan terlebih dulu," katanya. Sementara itu, penolong jurulatih negara, Hasan Sazali berkata, dia juga berpuas hati dengan aksi berdepan Arab Saudi walaupun menyedari lawan sebuah pasukan hebat. Katanya, keserasian permainan dapat dilihat dalam perlawanan berkenaan sekali gus dapat menyerap taktikal yang direncana ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/137518

Jumaat, 15 April 2016

Ketiadaan Norshahrul petanda kurang baik?

 ARKIB : 28/11/2012
PETALING JAYA - Bagai jatuh, ditimpa tangga... Sudahlah bakal berdepan perlawanan hidup mati dengan Laos pada malam ini yang akan menentukan sejauh mana peluang Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu, mereka perlu melakukannya tanpa khidmat penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha.

Disahkan mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan, kelibatnya langsung tidak kelihatan pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM petang semalam, sekali gus mengesahkan yang bakal pemain Johor itu hampir pasti tidak akan beraksi pada perlawanan malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Diketahui merupakan gandingan paling ideal kepada penyerang Arema Pelita, Safee Sali, ketiadaan Norshahrul mungkin memaksa jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal melakukan rombakan di bahagian depan dengan Ahmad Hazwan Bakri sebagai pilihan utama.

Walaupun masih muda, Hazwan diketahui antara penyerang muda paling berbakat di negara ini selain Rozaimi Abdul Rahman dan aksi hatriknya semasa 'cap' pertama dengan Harimau Malaya ketika membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan masih tidak dilupakan.

Justeru, khidmat pemain yang berasal dari Labuan ini dijangka ditagih oleh Rajagobal bagi mencari kemenangan pertama Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2012 selain memperlihatkan alternatif-alternatif lain seperti menyenaraikan Khyril Muhymeen atau Ahmad Fakri Saarani di barisan serangan.

Ketika ditemui, Hazwan Bakri berkata dia cukup bersedia memikul tugasan diberikan jika mendapat kepercayaan jurulatih untuk diturunkan dalam perlawanan berdepan Laos.

Walaupun mengakui masih mentah jika dibandingkan dengan pemain-pemain yang lain, dia sanggup belajar dan berusaha untuk membantu Harimau Malaya untuk bangkit menebus maruah yang tercalar selepas kalah dengan cara memalukan di tangan Singapura.

Sementara itu, Safee berasakan ketiadaan Norshahrul memang bukan satu petanda yang baik tetapi bersedia jika digandingkan dengan sesiapa sahaja asalkan dapat membantu skuad negara meraih tiga mata penting.

"Itu merupakan satu khabar yang kurang baik bagi perlawanan esok (hari ini), namun semua pemain bersedia walaupun tanpa kehadiran Norshahrul dan saya boleh bermain dengan mana-mana penyerang lain. Saya berharap aksi kami ketika berdepan Laos akan lebih baik," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121128/su_03/Ketiadaan-Norshahrul-petanda-kurang-baik#ixzz45wvzjWj6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 12 April 2016

Gergasi Merah tekad benam Sheikh Jamal

Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
 
ZAINAL (dua dari kiri) dan Shafiqul Islam berjabat tangan selepas sidang akhbar menjelang saingan Piala AFC 2016 antara Selangor dan Sheikh Jamal di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini. Turut kelihatan kapten Selangor, Mohd. Shahrom Abdul Kalam (kiri) dan kapten Sheikh Jamal, Enamul Haque.

SELEPAS mencatatkan pres­tasi tidak menentu dalam kempen Liga Super, Selangor melaungkan amaran untuk bangkit mencatat kemenangan dalam sai­ngan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 2016 (AFC) menentang Sheikh Jamal di Stadium Majlis Perban­da­ran Selayang malam ini.

Atas kertas, sudah pasti skuad kendalian Zainal Abidin Hassan (gambar) itu tiada masalah untuk menundukkan pasukan dari Bangladesh tersebut yang seakan-akan sudah mengangkat bendera putih apabila sekadar membawa 14 pemain sahaja pada aksi keempat Kumpulan E.

Dengan keadaan pasukan pelawat yang tidak lengkap memberi keyakinan tinggi kepada Gergasi Merah untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Zainal berkata, beliau dia tidak mahu Sela­ngor memandang ren­dah saingan pasukan lawan, sebaliknya mahu para pemain bangkit mencipta kemenangan selepas te­was 1-3 kepada Felda United dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu.

Katanya, Gergasi Merah tiada pilihan selain mencipta ke­me­nangan agar pe­luang untuk melayakkan diri ke pusingan seterus­nya lebih terbuka.

“Sasaran kita adalah mengutip tiga mata penuh kerana jika kita gagal mencipta kemena­ngan malam esok (hari ini), ia akan membawa kesukaran kepada Selangor. Jadi, misi kita adalah wajib menang bagi meneruskan saingan dalam Piala AFC 2016.

“Saya harap pemain tak ambil mudah walaupun kami menang 4-3 ke atas mereka di Dhaka (15 Mac lalu) dan kali ini beraksi pula di tempat sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Selepas tiga perlawanan, Selangor menghuni tangga ketiga dengan empat mata, di belakang pendahulu Kumpulan E, Tampines Rovers (Singapura) dengan tujuh mata dan Ceres dari Filipina (lima mata).

Sheikh Jamal pula gagal meraih sebarang mata, sekali gus berada di tangga keempat selepas tewas ketiga-tiga perlawanan.

Dalam pada itu, pada perlawanan tersebut, Zainal tidak menurunkan Mauro Olivi selepas direhatkan se­ketika oleh pihak pengurusan ber­ikutan isu pergaduhan dalam bilik persalinan yang melibatkan penye­rang import dari Argentina itu de­ngan pemain tengah, Mohd. Hafiz Kamal.

Sementara itu, kapten Selangor, Mohd. Shahrom Abdul Kalam menyifatkan ketiadaan Olivi tidak menjejaskan rentak permainan mereka dan mahu pasukannya kekal fokus untuk memburu tiga mata di Sela­yang.

“Kami akui selepas tewas dengan Felda United semangat sedikit jatuh, namun selepas melakukan ‘post-mortem’, moral pemain kembali pulih untuk berdepan saingan esok (malam ini) dan tekad mencatat kemenangan buat pasukan,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz45bKAPrdd Hakcipta terpelihara

Isnin, 4 April 2016

Piala FA: Malang buat Pulau Pinang

ARKIB : 09/02/2006
 
Pemain Pahang, Jalaluddin Abu Jaafar (depan) diasak oleh pemain KL Kesas, Khairul Adzuan Abd. Kadir pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Pahang menang 6-0.

KUALA LUMPUR - Tujuh pasukan daripada Liga Super tidak menghadapi laluan sukar melainkan Pulau Pinang apabila melepasi ujian pertama untuk memahatkan kemenangan awal pada saingan pusingan pertama Piala FA bermula semalam.

Hanya Pulau Pinang akur dengan kehebatan Kelantan apabila tewas 0-2 di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV.

Dalam saingan lain, kejutan hanya berlaku apabila pendahulu Kumpulan B Liga Perdana Melaka menerima kejutan tewas 4-0 kepada NTFA yang menduduki tangga terbawah Kumpulan A di Stadium Negeri Batu Kawan.

Tujuh pasukan Liga Super yang mencatat kemenangan selesa ialah Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Telekom Melaka, Perlis dan MPPJ.

Empat gol menerusi Bambang Pamungkas pada minit ke-15, 25, 39 dan 85 sudah cukup menceriakan kembali Selangor untuk mempertahankan gelaran yang dijulang musim lalu.
Naib juara Perak pula cemerlang menjinakkan Kuala Lumpur di Stadium Perak.
Pahang yang belum menjulang Piala FA mencipta kemenangan berpesta gol apabila menewaskan pasukan berstatus kelab, Kesas 6-0 di Stadium Darul Makmur.
Josiah Seton mencipta hatrik diikuti oleh dua jaringan pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mencipta dan satu gol menerusi Subri Sulong.
Perlis juga turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman.
Dua gol menerusi Philimon Chepita pada minit ke-83 dan 89 sudah cukup menceriakan Perlis yang akan menanti kunjungan Kedah di gelanggang sendiri pada 1 Mac nanti.
Gol tunggal Kedah dijaringkan oleh Paulo Roberto da Silva pada minit ke-41.
Telekom Melaka turut bergaya apabila menewaskan bekas juara 1995, Sabah 3-0 di Stadium Hang Jebat.
Begitu juga dengan pendahulu Liga Super, MPPJ tidak berdepan tugas rumit apabila mudah mengetepikan cabaran KL Plus dengan kemenangan 3-0 di Stadium Petaling Jaya.

Kapten Perak terlepas digantung 12 bulan

ARKIB : 08/02/2006
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian terlepas daripada hukuman digantung 12 bulan dan denda RM3,000 selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengetepikan hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib pada 6 Januari lalu.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu dijangka dikenakan penggantungan tiga perlawanan dan denda RM1,000 sahaja mengikut Peraturan 6(a) Jawatankuasa Tatatertib.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah berkata, hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib mengikut peraturan 7 (a) tidak bertepatan dengan tuduhan perlakuan ganas Ahmad Shahrul ke atas pengadil perlawanan.

Menurutnya, jawatankuasa telah meneliti laporan dan menonton tayangan video insiden yang berlaku pada pertemuan Perak dengan MPPJ 31 Disember lalu dan mendapati bekas pemain kebangsaan itu tidak berlaku ganas ke atas pengadil, Manjit Singh.

``Istilah ganas ke atas Ahmad Shahrul adalah tidak tepat kerana dalam insiden tersebut, ketua pasukan Perak itu sekadar menyentuh Manjit.

``Tidak ternampak sebarang perlakuan ganas dalam istilah sebenar dilakukan oleh Ahmad Shahrul sama ada dia menumbuk atau menolak hingga jatuh pengadil tersebut.

``Kerana itu jawatankuasa berpendapat hukuman penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000 tidak wajar buat Ahmad Shahrul,'' ujarnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Abdul Shukor, mesyuarat yang bersidang semalam mengarahkan jawatankuasa tatatertib mengadakan semula perbicaraan ke atas Ahmad Shahrul dengan tuduhan dibuat di bawah peraturan 6(a) dan bukannya 7(a).

Mengikut peraturan 7(a) menyebut, pemain yang diperintah keluar padang dan menerima kad merah oleh pengadil kerana berkelakuan ganas terhadap pengawai perlawanan secara automatik dihukum penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000.

Sementara hukuman bagi peraturan 6(a) memperuntukkan penggantungan tiga perlawanan dan denda sebanyak RM1,000.

Mengulas lanjut Abdul Shukor berkata, pertuduhan atas ketua pasukan Perak itu di bawah peraturan 6(a) dianggap bersesuaian.

``Keputusan ini tidak bermakna Ahmad Shahrul dibenarkan beraksi walaupun dia sudah menjalani penggantungan tiga perlawanan atas tuduhan pertama.

``Dia akan terus menjalani penggantungan sehingga keputusan baru diambil oleh Jawatankuasa Tatatertib yang akan bersidang tidak lama lagi,'' ujarnya.

Bagaimanapun ujar beliau, rayuan ketua pasukan Perak itu atas pertuduhan pertama apabila digantung tiga perlawanan dan denda RM1,000 ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan.

Menurutnya, pemain itu didapati bersalah kerana mengkasari penyerang MPPJ, Rachid Zmma pada minit ke-77 pada 31 Disember lalu.

Di samping itu katanya, rayuan daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) yang didenda RM10,000 kerana gagal mengadakan kawalan keselamatan di stadium, turut ditolak oleh jawatankuasa tersebut.

Ujarnya, rayuan jurulatih Telekom Melaka, Irfan Bakti yang digantung satu perlawanan dan denda RM1,000 juga ditolak.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44qmRQCrO © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 3 April 2016

Indra kena gugur

ARKIB : 31/01/2006
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Penjaring terbanyak Liga Super 2004, Indra Putra Mahayuddin adalah antara tiga pemain digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan rapi mengharungi perlawanan persahabatan menentang New Zealand bulan depan.

Berbanding dua pemain lain yang digugurkan iaitu P. Gunalan (Selangor) dan R. Surendren (Perak) atas pengesahan doktor perubatan mereka ditimpa kecederaan ketika melapor diri pada 24 Januari lalu, tetapi tidak sebaliknya buat Indra Putra.

Pemain Pahang itu tidak langsung datang ke kem latihan untuk memaklumkan kepada penolong jurulatih kebangsaan, Nasir Yusof mengenai masalah peribadinya tetapi cukup sekadar jurulatih skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan memaklumkan mengenai perkara itu.

Sikap acuh tidak acuh Indra memaksa pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menyingkirkan nya daripada turut serta mewakili skuad kebangsaan ke New Zealand pada 19 Februari ini.

Indra pernah digugurkan daripada skuad negara oleh jurulatih terdahulu, Bertalan Bisckei pada awal 2004 dan terlepas peluang beraksi pada kejohanan Piala Tiger penghujung 2004 dan awal 2005.

Buat Nasir Yusof, beliau mengambil keputusan untuk terus mengetepikan Indra Putra bagi panggilan kedua skuad kebangsaan yang akan dikumpulkan semula di Wisma FAM, 12 Februari ini.

``Tanpa Indra saya masih yakin dengan kemampuan pemain baru. Mereka yang dipilih adalah yang terbaik dalam Liga Super dan Liga Perdana tanpa Indra jentera serangan tidak sama sekali pincang,'' ujar Nasir ketika ditemui selepas mengendalikan latihan terakhir skuad kebangsaan di padang Wisma FAM di sini, semalam.

Ditanya sama ada Indra Putra akan dipanggil lagi selepas ini Nasir berkata, perkara tersebut terpulang kepada ketua jurulatih, Norizan Bakar yang akan mengambil alih tugas bulan depan.

``Untuk skuad ke New Zealand, Indra digugurkan terus,'' ujarnya.

Tanpa penyerang Pahang itu, Nasir cukup yakin dengan gandingan baru menerusi Rudie Ramli (Telekom), Mohd. Safee Sali (Sarawak), Saramsak Kram (Kedah) dan Mohizam Shah Dawoo Shah (PKNS).

Ujarnya, walaupun gandingan itu belum benar-benar teruji, kemampuan mereka meledakkan empat gol sewaktu menewaskan Polis 4-0 dalam perlawanan persahabatan, membuktikan jentera serangan baru itu mampu menyerlah.

``Saya cukup yakin empat rangkaian serangan ini jika terus digandingkan mampu memantapkan serangan,'' ujarnya.

Katanya, gandingan ini akan menjadi pertaruhan dalam dua perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada 19 Februari ini di Christchurch dan 23 Februari di Auckland.

Menurutnya, keupayaan mereka akan benar-benar teruji apabila menentang New Zealand nanti.

Menurut Nasir, tiada pemain lain akan dipanggil .

Hari ini skuad negara akan menentang Polis dalam perlawanan ujian kedua di padang Wisma FAM.

SUMBE-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44kYPjwps © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 2 April 2016

Indra, Fadzli dalam senarai

ARKIB : 21/01/2006
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA - Sepuluh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA ke-23 di Filipina, bulan lalu dipanggil semula menjalani latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi New Zealand dalam dua perlawanan persahabatan, bulan depan.

Mereka ialah K. Linggam, Ronny Harun, V. Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Mat Saiful Mohammad, Zairo Anur Zalani, Mohd. Fadzli Saari, Azi Shahril Azmi, Rudie Ramli dan R. Surendran yang membarisi skuad Bawah 23 Tahun sebelum ini.

Turut disenaraikan semula ialah tonggak skuad ketiga terbaik Piala Tiger 2005 iaitu Syamsuri Mustaffa, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabudin Hussain, K. Nanthakumar dan Amri Yahyah.

Bagaimanapun ketara tercicir menjelang pertemuan dengan All White di Christchurch dan Albany, Auckland pada 19 dan 23 Februari ialah ketua pasukan Piala Tiger, Rosli Talib.

Tidak disenaraikan juga ialah Shukor Adan, Ahmad Tharmini Saiban dan D. Surendran (Selangor), Liew Kit Kong (MPPJ), Hairuddin Omar dan V. Saravanan (Pahang) serta pemain Perlis, Ivan Yusoff.

Penyerang Selangor, Khalid Jamlus dan Mohd. Nor Ismail dari Perak yang menyerlah dalam Piala Tiger dan Sukan SEA, turut tiada kali ini tetapi agak mengejutkan ialah kembalinya sayap kiri Pahang, Indra Putra Mahyuddin dalam senarai 25 pemain.

Muka baru yang turut dipanggil melapor diri di Wisma FAM mulai Selasa ini ialah penjaga gol, Nasril Nourdin; P. Gunalan, Fazli Baharuddin, Hardi Jaafar, Yazli Yahya, Saramsak Kram dan Mohizam Shah Dawood Shah.

Faizal Rashid, anak bekas penjaga gol kebangsaan, Rashid Hassan juga mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Norizan Bakar dan Safee Sali, penyerang Sarawak yang digugurkan daripada skuad Sukan SEA.

Sesi latihan kali ini yang akan dihimpit jadual padat Liga Super dan Liga Perdana, ditetapkan sehingga 31 Januari dan kesemua pemain diarah melapor diri kepada penolong jurulatih kebangsaan, Nasir Yusof.

Selain New Zealand, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, Malaysia akan menghadapi Singapura dalam dua lagi perlawanan persahabatan secara timbal balik, pada hujung Mei dan awal Jun.

``Kita juga bekerjasama melangsungkan perlawanan antara juara Liga Super, Perlis dengan juara Liga Singapura, Tampines Rovers dan§ juara Piala FA, Selangor menentang juara Piala Singapura, Home United.

Katanya, FAM sedang menimbangkan kemungkinan menghantar skuad Bawah 20 Tahun bimbingan K. Rajagopal ke Piala Singapura jika tidak menjejaskan program persediaan mereka.

Skuad ini yang akan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Asia di Kolkata pada 29 Oktober hingga 12 November, telah dirancang untuk menjelajah India, Asia Barat dan Eropah sebagai sebahagian persediaan mereka.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0121&pub