Khamis, 28 April 2016

‘Sekadar hiburan semata-mata’


 
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
AKMAL RIZAL menyifatkan golongan muda lebih berminat menyaksikan perlawanan berbanding turun padang bermain bola sepak.

BEKAS penyerang RC Strasbourg, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyifatkan punca ketandusan pemain-pemain berpotensi muda disebabkan golongan ini masih belum dapat merasai ‘budaya’ serta ‘jiwa’ sebenar bola sepak.

Ini kerana Akmal Rizal membe­ritahu, bola sepak Malaysia masih belum mencapai standard ‘budaya’ sebaliknya ia lebih berbentuk hiburan kepada generasi muda tempatan.

Bekas pemain Kedah dan Sarawak itu tanpa berselindung mengakui sedikit kecewa kerana golongan muda kini lebih berminat untuk menyaksikan perlawanan berbanding turun ke padang untuk bermain bola sepak.

“Sukan bola sepak Malaysia masih bukan lagi (menjadi) budaya tetapi ia lebih kepada hiburan semata-mata.

“Di Malaysia, bola sepak adalah hiburan No. 1 dan mungkin itulah salah satu sebab mengapa budak-budak muda masih tidak nampak lagi potensi sebenar menjadi seorang pemain bertaraf profesional,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, setiap pemain harus memasang impian untuk beraksi pada tahap lebih tertinggi selain belajar untuk menambah ilmu, bukan hanya kepada bola sepak, sebaliknya pengetahuan am.

Katanya, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memastikan minat generasi muda untuk menjadikan bola sepak sebagai karier yang menjamin.

“Saya fikir kena ada seorang pemain contoh yang berjaya berkelana di luar negara dan sehingga kini belum ada lagi mana-mana pemain mampu berbuat demikian.

“Sebagai pemain bola sepak, kita harus menanam cita-cita lebih tinggi untuk bermain. Yang penting adalah sokongan ahli keluarga.

“Selagi tiada budaya bola sepak, selagi itu kita tidak akan nampak pertumbuhan generasi muda untuk bermain bola sepak yang mana mereka kini lebih cenderung untuk menyaksikan bola sahaja,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz476hLp7tx Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan