Jumaat, 22 April 2016

Pantau rawatan Wan Zack

Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor tiba di tanah air semalam dari Jepun selepas mendapat kebenaran kelabnya FC Ryukyu untuk mendapatkan rawatan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya ketika sesi latihan Selasa lalu.
Perkara itu disahkan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yang mahu pemain berusia 22 tahun itu menjalani rawatan rapi segera di negara ini untuk mengetahui sejauh mana tahap kecederaan itu.
“Zack (Wan Zack Haikal) sudah sampai di Kuala Lumpur tadi (semalam) dan dia akan menjalani ujian pemeriksaan dengan doktor pakar esok (hari ini) bagi mengetahui lebih lanjut tahap kecederaan dialaminya. Dia kembali ke sini atas permintaannya sendiri dan mendapat kebenaran pihak FC Ryukyu.

“Pada saya lebih baik dia menjalani rawatan di sini kerana memudahkan kami untuk memantau keadaannya dan kita juga mempunyai doktor pakar bagi rawatan pemulihan nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Foto
KIM Swee berpendapat lebih elok Wan Zack terima rawatan di Malaysia.

Kecederaan Wan Zack Haikal memberikan perkhabaran buruk buat skuad kebangsaan yang mengharapkan pemain sayap lincah itu akan dapat beraksi bersama bagi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Shenzen, China 9 Oktober ini sebelum menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober di Stadium Shah Alam.

Mengikut laporan awal, kecederaan ACL itu bakal menyebabkan pemain kelahiran Maran, Pahang itu tidak dapat beraksi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sekali gus menyaksikan peluangnya untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini lebur.

Menurut Kim Swee, Wan Zack Haikal akan menjalani rawatan di Malaysia hingga pulih sepenuhnya dan pengendali itu masih mengharapkan keajaiban agar pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka itu dapat bersama skuad negara ke Myanmar bagi misi mempertahankan pingat emas.

“Dia akan berada di sini hingga betul-betul sembuh. Walaupun dia dibenarkan pulang, gaji dan segala perbelanjaan rawatan ditanggung kelabnya. Kita tunggu dulu laporan doktor dan selepas itu baru kita boleh tahu sama ada dia boleh bermain (Sukan SEA) atau tidak,” katanya.

Wan Zack Haikal menandatangani kontrak dua tahun dengan FC Ryukyu yang juga kelab bahagian tiga Jepun, Mac lalu bersama dengan seorang lagi pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim yang kini masih kekal bersama kelab itu hingga kontraknya tamat hujung tahun ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Tiada ulasan:

Catat Ulasan