KUANTAN -
Dua nadi kubu pertahanan Harimau Muda, Nik Mohd. Shahrul Azim dan Mohd. Azrif
Nasrulhaq Badrul Hisham mahu memastikan Myanmar berputih mata pada pentas akhir
Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Tidak gerun
dengan reputasi gah yang ada pada barisan serangan Myanmar yang akan diterajui
Kyaw Ko Ko dan Kyi Lin, mereka berdua akan sedaya upaya mengekang kelincahan
pasukan lawan sambil menegaskan tidak rela melihat pintu gol sendiri dibolosi
bagi memastikan trofi Pestabola Merdeka kekal di tanah air sendiri.
Menurut Nik
Shahrul, aksi dengan Myanmar pada peringkat kumpulan akan dijadikan panduan
utama walaupun aksi di perlawanan akhir mungkin sedikit berbeza di samping
lawan pasti akan menggunakan pendekatan baru bagi menghadapi tuan rumah.
"Pada
perlawanan akhir ini, saya yakin kami semua di bahagian pertahanan mampu
beraksi lagi baik dan akan cuba memastikan Myanmar tidak membolosi gawang kami.
"Myanmar
membuktikan mereka ada kualiti tersendiri di bahagian serangan dan kami tidak
boleh sedikit pun bersikap sambil lewa dalam sepanjang permainan, jika tidak
kami boleh dihukum.
"Persefahaman
saya dengan pemain-pemain Harimau Muda juga semakin baik walaupun pada awalnya
sedikit kekok dan sekarang tiada masalah lagi, saya sudah tahu cara permainan
rakan-rakan yang lain," katanya ketika ditemui, semalam.
Nik Shahrul
yang juga pertahanan Kelantan adalah salah seorang pemain yang diberi pelepasan
oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal selain Junior Eldstal bagi
membantu Harimau Muda dalam saingan Pestabola Merdeka 2013.
Rujukan:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130914/su_04/Nik-Shahrul-Azrif-sedia-rantai-Myanmar#ixzz2epmL3yR5©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan