Kuala
Lumpur: Pemain tengah Perak Shahrul Saad percaya mereka mampu mengakhiri impian
untuk menjejak kaki ke pentas final Piala FA buat kali pertama sejak 2005
dengan menyingkirkan PKNS di gelanggang sendiri Sabtu ini.
Bekas pemain
Harimau Muda A dan FELDA United itu berkata, keputusan seri 2-2 pada separuh
akhir pertama di Stadium Hang Jebat Melaka 15 April lalu memberi sedikit
kelebihan buat mereka.
“Jika
dilihat Perak dalam prestasi terbaik ketika ini cuma ada sedikit masalah
kecederaan pemain. Apa yang penting kami tidak boleh memandang rendah keupayaan
PKNS sebab bila sudah sampai ke separuh akhir, ia situasi yang berbeza dan
semua pasukan memiliki peluang seimbang.
“Saya
percaya jika kami boleh berikan aksi terbaik, sudah pasti impian ke final semula
akan tercapai,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Perak yang
dikendalikan abangnya, Syamsul Saad kini di prestasi terbaik apabila mencatat
dua kemenangan berturut-turut dalam Liga Super termasuk mengejutkan pendahulu
FELDA United 3-2 Ahad lalu.
Namun mereka
perlu berhati-hati dengan ancaman PKNS khususnya bahagian serangan yang
diterajui Gabriel Guerra.
“Memang PKNS
pasukan yang bagus terutama bahagian serangan mereka, jadi kami perlu
berhati-hati,” kata Shahrul.
Shahrul
bagaimanapun mengharapkan kecederaan pangkal paha yang dialami kembali sembuh
untuk beraksi dalam perlawanan itu.
Artikel ini
disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:48 AM
SHAHRUL
(kanan) idam ke final.
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/133872#sthash.384kOuS0.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan