ARKIB : 20/03/2002
ONG YU TIANG yang mengidap
penyakit leukemia disuapkan makanan oleh isterinya, Linda Yap di Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, semalam. - Gambar AZMAN
GHANI.
Oleh YURI AZHAR MAZLAN
BEKAS penjaga gol pasukan bola
sepak kebangsaan, Ong Yu Tiang yang kini terlantar di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM) memerlukan RM50,000 bagi kos rawatan penyakit
leukaemia yang dihidapinya.
Yu Tiang, 44, ketika ditemui di
PPUM, Petaling Jaya semalam berkata, dia memerlukan bantuan itu selepas
disahkan menghidap penyakit Acute Lymphocytic Leukaemia awal tahun ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang
bersimpati dengan nasib bekas pemain kebang-saan itu boleh menyalurkan bantuan
kewangan melalui Tabung Perubatan Ong Yu Tiang anjuran Kelab Rekreasi Ulu
Kelang (UKRC).
``Pada bulan Januari lalu, saya
menerima rawatan selama seminggu di Pusat Perubatan Pantai Cheras, Kuala
Lumpur.
``Namun kerana kos perubatannya
terlalu tinggi, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke PPUM bagi tujuan
rawatan,'' katanya kepada Sukan Utusan di PPUM, Petaling Jaya, semalam.
Menurutnya, dia perlu menerima
rawatan kira-kira enam bulan di PPUM dan dimaklumkan oleh doktor peluangnya
untuk sembuh adalah cerah.
Yu Tiang yang berkhidmat sebagai
pengurus promosi di Sunrise Sports, sebuah syarikat pengedar peralatan sukan
memberitahu bahawa isterinya, Linda Yap turut membantu meringankan bebanannya
untuk menanggung kos perubatan dengan bekerja secara sambilan.
Bagaimanapun, ia tidak mencukupi
kerana mereka juga perlu menanggung lima orang anak yang masih bersekolah.
Yu Tiang memulakan karier sebagai
pemain bola sepak dengan mewakili Terengganu pada tahun 1976 hingga 1979 dan
kemudian menyertai Selangor pada 1980 hingga 1984.
Dia juga merupakan anggota skuad
negara yang layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada 1980, tetapi Malaysia
memulaukan temasya itu.
Kemunculan terakhirnya ialah
ketika beraksi sebagai penjaga gol untuk pasukan veteran Selangor melawan
pasukan veteran Singapura pada perlawanan persahabatan pada Ogos, tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Kelab
Rekreasi Hulu Kelang (UKRC), Andrew Gopal berkata, UKRC akan mengadakan
Perlawanan Bola Sepak Amal Ong Yu Tiang, Ahad ini di padang kelab itu untuk
mengumpul derma.
Katanya, UKRC berharap untuk
mengumpul sebanyak RM50,000 dan meminta orang ramai hadir untuk tujuan amal di
padang UKRC, Jalan Pelangi, Kuala Ampang bersebelahan Hotel Flamingo bermula
3.00 petang.
Tambahnya, UKRC setakat ini sudah
mengumpul sejumlah RM10,000 sejak tabung membantu pemain itu dimulakan 2
Februari lalu.
Orang ramai yang inginkan
menghulurkan bantuan kewangan kepada Ong Yu Tiang boleh berbuat demikian dengan
menghubungi Presiden UKRC, Andrew Gopal menerusi talian 012-2025959
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bxzcHijx©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan