ARKIB : 27/05/2003
KETIKA Selangor semakin terdesak
untuk menduduki enam tempat teratas dalam kedudukan Liga Perdana Satu, bekas
pemain tengah skuad Red Giants itu, Tengku Hazman Raja Hassan kini berbangga
dapat membantu Perlis melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala FA menentang
Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Selain menjadi tonggak membantu
Red Giants membawa pulang Piala Malaysia kali ke-29 musim lalu, Tengku Hazman,
26, menyifatkan penyertaannya dalam skuad Singa Utara kali ini sungguh bermakna
kerana dapat membantu pasukan itu layak ke Piala FA buat kali pertama.
Selain melahirkan kesyukuran
kerana menimba pengalaman dengan pasukan baru musim ini, Tengku Hazman gembira
kerana menerima pelawaan jurulatih Perlis, Norizan Bakar untuk mewakili skuad
Singa Utara musim ini.
``Tidak sangka penyertaan saya ke
dalam Perlis musim ini dapat membantu pasukan layak ke perlawanan akhir Piala
FA,'' katanya ketika dihubungi sewaktu berada di Kota Bharu, semalam.
Selangor kehilangan beberapa
pemain tonggak antaranya Azman Adnan, B. Rajinikandh, Yusri Che Lah, Lim Chan
Yew, Mohd. Aiman Wong dan Azlisham Ibrahim kerana berhijrah ke negeri lain.
Pasukan yang pernah menjuarai
Piala Malaysia sebanyak 29 kali itu kini berdepan saat perit dalam kempen liga
musim ini kerena prestasi pemain begitu merosot berbanding musim lalu.
Sementara Singa Utara yang
menduduki tangga kedua Liga Malaysia selepas berakhir pusingan pertama lalu,
boleh berbangga dengan kejayaan mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir
Piala FA selepas menewaskan Sarawak dengan agregat 5-3 pada 17 Mei lalu.
Biarpun tewas 1-0 kepada
Terengganu dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga M Sabtu lalu, persiapan
Perlis sedikitpun tidak terjejas untuk menghadapi final Piala FA hujung minggu
ini.
Ini diakui sendiri oleh Tengku
Hazman yang menyifatkan semua pemain Perlis kini bersedia untuk bermain
bersungguh-sungguh dalam perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan.
``Pengalaman saya bersama
Selangor akan digunakan untuk saya dan pasukan menghadapi Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kami tetap menghormati skuad Rusa yang memiliki pemain ternama
khususnya Azman, Aiman, Azlisham, Rajinikandh dan Chan Yew,'' ujar beliau.
Sambil menyifatkan keputusannya
meninggalkan Selangor untuk mencari pengalaman baru di Perlis adalah berbaloi,
Tengku Hazman berkata, peluang untuk beraksi di final Piala FA ialah sesuatu
yang amat dinanti-nantikannya.
Pada perlawanan akhir Piala FA
2001 lalu antara Selangor dan Sarawak, Tengku Hazman tidak dapat beraksi kerana
digantung perlawanan.
Selangor menjuarai piala tersebut
setelah D. Surendran menjaringkan gol emas pada masa masa tambahan.
Sambil mengucapkan terima kasih
kepada sokongan peminat bola sepak Perlis yang sentiasa menyokong Singa Utara,
Tengku Hazman berjanji dia bersama rakan sepasukan akan memberi persembahan
yang terbaik pada perlawanan akhir Sabtu ini.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cwzIhZJJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan