Jumaat, 17 Mac 2017

Jaringan emas Surendran

ARKIB : 11/06/2001
 
PENJAGA gol Sarawak, Mohd. Azley Abdullah menangkap kemas bola daripada diterpa oleh dua pemain Selangor, Rusdi Suparman (tengah) dan Nizaruddin Yusof sewaktu perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Selangor menang 1-0. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
TANDUKAN emas pemain pertahanan, D. Surendran pada minit ke-109 masa tambahan sudden death menjulang Selangor selaku juara edisi ke-12 bola sepak Piala FA, menewaskan Sarawak 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kedua-dua pasukan terpaksa bermain pada masa tambahan selepas kedudukan terikat tanpa jaringan selepas berhempas pulas memburu jaringan pada 90 minit permainan.

Jaringan Surendran hadir dalam satu aksi serangan balas yang pantas dari sebelah kanan dengan pemain sayap kanan, Mohd. Shawal Johadi membuat hantaran lintang sebelum ditanduk cantik Surendran dalam kotak penalti, menewaskan penajaga gol Mohd. Azley Abdullah yang beraksi cemerlang sebelum itu.

Kejayaan itu adalah kali ketiga buat Selangor dalam empat penampilan pada pentas akhir selepas 1990, 1991 dan 1997. Ia juga kekecewaan kali ketiga buat Sarawak selepas kali terakhir menjulang Piala FA pada 1992.

Aksi menghiburkan oleh kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama di depan kira-kira 50,000 penonton, sebahagian besar penyokong Merah Kuning.

Begitupun, pasukan `tuan rumah' Selangor lebih dulu mencuri tumpuan dengan percubaan pertama menerusi Surendran yang menyepak melepasi palang gol pada minit ketujuh hasil sepakan percuma dari jarak 25 meter.

Pemain itu berpeluang melakukan sekali lagi menerusi sepakan percuma dari tempat dan jarak yang sama tiga minit kemudian tetapi kali ini ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Mohd. Azley Abdullah.

Sarawak yang pada mulanya bertahan, membalas serangan dan peluang terbaik hadir minit ke-20 apabila percubaan Mohd. Nazri YUNOS terkena badan B. Rajinikandh dan tersasar sipi dari tiang gol ketika Azmin Azram Aziz agak jauh untuk menjangkaunya.

Abdul Halim Jantan hampir menggegarkan jaring Selangor dua minit kemudian apabila bola yang disambarnya hasil hantaran ke tengah Ramos Sari mengenai jaring sebelah luar.

Penyerang Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof mendapat dua peluang terbaik pada minit ke-24 dan 26 tetapi percubaannya dinafikan Mohd. Azley yang beraksi cemerlang mengawal gawangnya.

Ramos hampir menutup babak pertama dengan jaringan sulung tetapi sepakan kaki kirinya dari sebelah kanan sipi di kiri gawang Selangor.

Biarpun mendapat sorakan padu penyokong, kedua-dua pasukan tidak banyak mendapat atau melakukan percubaan-percubaan berbahaya pada 25 minit babak kedua.

Tetapi peluang terbaik hadir untuk Sarawak minit ke-71 menerusi sepakan percuma Ramles Sari yang menyaksikan percubaannya melepasi sedikit palang gol.

Begitupun, baki permainan seterusnya agak menghampakan dengan tiada sebarang percubaan berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan yang memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sudden death.

Namun, tandukan cemerlang Surendran memberi kejuaraan buat kali ketiga buat Selangor dalam kempen edisi ke-12 ini.

SELANGOR:
Azmin Azram Aziz, B. Rajinikandh, Khairil Zainal, Shamsul Amri Abu Bakar, Nor Suhaimi Bahaudin, D. Surendran, Asmawi Bakiri (Khairun Haled Masrom), Jaafar Salleh (Mohd. Amri Yahya), Yusri Che Lah, Mohd. Nizaruddin Yusof, Rusdi Suparman (Mohd. Shawal Johadi).

SARAWAK:

Mohd. Azley Abdullah, Jeffry Untam, Mohd. Nazri YUNOS (Abang Mohd. Zafari), Mohd. Zaidil Sakup (Samsul Napiah), Dahlan Matusin, Mohd. Ali Sapiee, Gilbert Cassidy Gawing, G. Muthu (Bobby Pian), Ramos Sari, Ramles Sari, Abdul Halim Jantan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4beP3CwKg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan