ARKIB : 12/10/2001
KEDUDUKAN Irfan Bakti selaku
jurulatih Pulau Pinang untuk saingan bola sepak Liga Perdana Satu musim 2002
hampir pasti apabila Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bersetuju
menyambung kontraknya dalam tempoh terdekat ini.
Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr
Ibrahim Saad, bagaimanapun berkata tempoh kontrak baru itu belum diputuskan
walaupun pihak pengurusan dijangka melanjutkan kontraknya yang akan tamat musim
ini.
``Kita menganggap beliau
berjaya melaksanakan tugasnya sebagai jurulatih. Pada tahun pertama (2000),
beliau berjaya membimbing Pulau Pinang sehingga muncul naib juara Liga Perdana
Satu dan pada tahun ini menjadi juara Liga Perdana Satu.
``Kita akan bincangkan tempoh
kontrak barunya pada mesyuarat yang akan diadakan minggu depan,'' katanya ketika
ditemui pada majlis pelancaran logo dan galeri Gabungan Bola Sepak Asia (AFC)
di AFC House di Kuala Lumpur, kelmarin.
Sebelum ini Pulau Pinang telah
mengikat kontrak selama dua tahun dengan Irfan untuk membimbing skuad Pulau
Mutiara itu bermula tahun lepas.
Ibrahim berkata FAP akan tetap
menawarkan kontrak baru kepada Irfan walaupun perjuangan Pulau Pinang untuk
musim ini masih belum berakhir.
``Apa juga keputusan yang
dicatat pada perlawanan suku akhir menentang Kelantan tidak akan mempengaruhi
keputusan FAP menawarkan kontrak baru kepadanya,'' katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata
mesyuarat akan datang juga akan membincangkan pemilihan pemain untuk menyarung
jersi Pulau Pinang bagi musim 2002.
Mengenai pertemuan dengan
Kelantan pada perlawanan suku akhir, beliau percaya para pemainnya mampu
mengatasi pasukan Pantai Timur itu.
``Kali terakhir kita memenangi
Piala Malaysia ialah pada 1974. Saya tidak mahu terlalu yakin tetapi saya
percaya kita mampu melepasi halangan di peringkat suku akhir... matlamat kita
tahun ini untuk muncul juara,'' katanya.
Beliau berkata, walaupun Pulau
Pinang tidak dibarisi pemain yang bertaraf ``bintang'', kesungguhan dan
komitmen pemain merupakan aset penting yang memastikan mereka melangkah jauh.
``Kita tiada pemain bertaraf
bintang, namun kita mampu muncul juara Liga Perdana Satu. Saya berpendapat
Pulau Pinang merupakan pasukan yang paling konsisten musim ini,'' katanya.
Pulau Pinang akan menentang
Kelantan pada perlawanan suku akhir pertama Selasa ini di Stadium Batu Kawan,
Pulau Pinang. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4blW4DdcI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan