Jumaat, 17 Mac 2017

Tengku Hazman, Mohd. Nor Derus digantung dan denda RM2,000

ARKIB : 10/06/2001
LEMBAGA Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengenakan penggantungan enam perlawanan dan denda RM2,000 setiap seorang kepada pemain Selangor, Tengku Hazman Raja Hassan dan pemain Pulau Pinang, Mohd. Nor Derus selepas kedua-duanya terbabit dalam pergaduhan sewaktu perlawanan Piala FA, 22 Mei lalu.

Hukuman terhadap Tengku Hazman menjadi satu tamparan buat Selangor menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala FA menentang Sarawak malam ini.

Tengku Hazman merupakan tenaga penting ketika pasukan Red Giants itu menumbangkan Sabah 2-0 pada separuh akhir kedua di Shah Alam Isnin lalu. Keputusan keatas kedua-dua pemain itu dibuat selepas lembaga disiplin FAM bersidang selama empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pengerusi Lembaga Disiplin FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Tengku Hazman dan Mohd. Nor Derus didapati bersalah kerana bergaduh pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Pulau Pinang di Stadium Shah Alam pada 22 Mei lalu.

``Bagaimanapun, kedua-dua pemain sudah menjalani hukuman gantung dua perlawanan secara automatik selepas perlawanan itu, bermakna mereka perlu menunggu empat lagi perlawanan,'' kata Azzuddin, yang kali pertama mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin sejak dilantik awal minggu ini.

Pasukan Telekom Melaka pula didenda sebanyak RM10,000 kerana gagal mengawal keselamatan di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menentang JKR Kelantan dalam perlawanan Perdana Dua 11 Mei lepas.

Dalam perlawanan itu, pengadil perawanan, Manjit Singh telah diserang oleh dua penonton yang didakwa dari kalangan penyokong JKR Kelantan ketika beliau sedang berjalan menuju bilik persalinan sebaik perlawanan tamat.

Jawatankuasa Disiplin, kata Azzuddin belum boleh membuat keputusan mengenai tindakan ke atas JKR Kelantan setelah pegawai mereka menafikan pembabitan para penyokong mereka.

``Kita perlu menunggu siasatan pihak polis dahulu sebelum membuat keputusan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Manjit dan pegawai Telekom Melaka,'' kata Azzuddin.

``Saya rasa ini adalah satu kes yang serius dan jika tidak diambil tindakan tegas kita bimbang akan merebak,'' tambah beliau.

Sementara itu, dua pemain TNB Kelantan, Murhim Abdullah dan Zulkarnain Mohammad masing-masing dikenakan denda RM500 dan RM200 dan digantung tiga perlawanan kerana berdepan dengan pengadil secara agresif selepas menentang Polis dalam Perdana Dua pada 11 Mei lepas di Stadium Selayang.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4beO7sFfM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan