Ahad, 30 April 2017

Asmawi serah kepada Perak

ARKIB : 22/11/2004
PEMAIN pertahanan pasukan bola sepak kebangsaan, Asmawi Bakiri menyerahkan kepada pengurusan Perak dalam menentukan nasibnya sama ada masih memerlukan khidmatnya musim depan atau sebaliknya., lapor Syed Hesham Idris.
Ini kerana katanya walaupun dia sudah menyatakan minat untuk kekal bersama pasukan `Kejor Yob Kejor' kepada pihak pengurusan, tetapi masih merasakan nasibnya pada musim depan masih belum pasti.
Dia mengakui hubungan `dingin' dengan orang tertentu dalam pasukan mungkin menyebabkan dia tidak tersenarai antara calon pilihan pada musim depan untuk kekal menyarung jersi pasukan Seladang.
Jika begitu nasibnya, Asmawi berkata terpaksa mengikut jejak beberapa tonggak utama Perak yang membawa pasukan Yob menjulang Piala FA 2006, Khalid Jamlus dan V. Saravanan meninggalkan pasukan tersebut musim depan.
``Saya sudah menyatakan keinginan untuk kekal bersama Perak musim depan dalam perbincangan tidak rasmi kepada pengurus, Datuk Jamal (Nasir Rasdi) baru-baru ini.
``Saya berpuas hati kerana khidmat saya dihargai dalam pasukan apabila disenarai dalam skuad utama.
``Selain itu saya juga bangga dengan prestasi Perak musim ini yang menjulang Piala FA, juga pencapaian cemerlang di kejohanan antarabangsa, Piala AFC.
``Begitupun saya berdepan masalah hubungan dingin dengan orang tertentu dalam pasukan yang mungkin menyebabkan nama saya tidak tersenarai musim depan.
``Nasib saya tidak pasti. Masih 50-50.
``Sekarang segala-galanya saya serahkan kepada pengurusan Perak (PFA) untuk membuat keputusan. Difahamkan segala-galanya akan diketahui minggu depan,'' katanya.
Asmawi bekas pertahanan Selangor dan Sabah kembali terpilih ke pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan dengan Thailand dan Singapura baru-baru ini.
Malahan, jurulatih kebangsaan, Bertalan Becskei turut menyenaraikan Asmawi dalam pasukan kebangsaan yang mula menjalani persediaan untuk kejohanan Piala Tiger Disember depan mulai hari ini.
Asmawi mendedahkan dia ada menerima beberapa tawaran dari pasukan dari pantai Timur dan utara tanah air yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Ahad, 16 April 2017

Irwan anggap bukan satu kekalahan

ARKIB : 26/03/2004
DI SEBALIK kekalahan kepada Korea Selatan pada perlawanan bola sepak kelayakan Olimpik kelmarin, pemain tengah Irwan Fadzli Idrus menyifatkan ia sebagai detik kejayaan kerana berjaya mengimbangi kekuatan pasukan nombor satu Asia itu.
Menurutnya, kekalahan tipis 1-0 itu membuktikan bahawa bola sepak Malaysia sudah mencapai tahap mampu berdepan dengan pasukan handalan.
Katanya, kalah selepas berjaya mengekang Korea Selatan daripada mencatat jaringan lebih besar bukanlah satu kekalahan yang memalukan.
``Pertemuan kelmarin menafikan ramalan Korea Selatan mudah meratah Malaysia dengan jaringan besar, paling tidak 3-0 atau 4-0.
``Sebaliknya Korea Selatan yang lebih tertekan apatah lagi apabila kita berjaya mencatat keputusan di luar dugaan selepas seri 1-1 dengan China minggu lalu,'' katanya.
Malaysia tewas kepada bekas musuh tradisi, Korea Selatan 1-0 dalam saingan Kumpulan A bola sepak kelayakan Olimpik zon Asia hasil sepakan penalti Cho Jae-jin pada minit ke-43, di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya kelmarin.
Pasukan negara tewas kepada Iran 4-1 dalam perlawanan sulong kelayakan Olimpik zon Asia bagaimanapun kemudiannya mencatat keputusan mengejutkan apabila mengikat China 1-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A.
Mengulas perlawanan tersebut, Irwan berkata, Malaysia terhukum gara-gara kesilapan sendiri apabila pemain tengah dari Terengganu, Mohd. Norhisham Hassan menjatuhkan Choi Sung-uk di dalam kawasan penalti.
``Dalam perlawanan antarabangsa yang penuh tekanan, hanya satu kesilapan kecil boleh membawa padah.
``Inilah yang terjadi kepada Malaysia ketika berdepan Korea Selatan kelmarin sedangkan hakikatnya kita sudah berjaya memberi tekanan kepada lawan,'' katanya.
Begitupun Irwan mengakui Korea Selatan satu pasukan yang handal tetapi kekebalan bahagian pertahanan pasukan negara yang diterajui oleh Norhafiz Zamani Misbah berjaya menyekat kemaraan penyerang Korea Selatan.
``Kehadiran Zamani menguatkan benteng pertahanan Malaysia dan jika tidak kerana penalti, Korea Selatan mungkin berputih mata tanpa sebarang gol padang,'' ujarnya.

Sabtu, 8 April 2017

Tengku Hazman kekal di Perlis



ARKIB : 17/12/2003

PEMAIN tengah Perlis, Tengku Hazman Raja Hassan membuat keputusan untuk terus kekal bersama skuad Singa Utara walaupun Persatuan Bolasepak Perak (PFA) berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi Liga Super 2004 yang akan bermula Februari depan, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.

Bekas ketua pasukan kebangsaan dalam Kejohanan Piala Tiger itu memberitahu, dia tidak pernah menerima tawaran secara rasmi untuk mewakili Perak walaupun pernah berbincang mengenainya secara lisan bersama pengurus pasukan skuad Seladang, Datuk Jamal Nasir Rasdi tidak lama dahulu.

``Saya bagaimanapun berterima kasih di atas tawaran Perak, namun saya meminta maaf kerana buat masa ini saya akan terus bermain dengan Perlis bagi menghadapi kejohanan tahun depan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kangar, semalam.

Menurutnya lagi, keserasian dan tiada sebarang masalah yang dihadapi selama semusim bersama pemain dan pengurusan skuad Perlis membuatkan dia bertekad untuk membantu Perlis mencabar pasukan-pasukan lain dalam Liga Super akan datang.

Katanya, semua pemain Perlis di bawah bimbingan jurulatih Norizan Bakar sanggup bekerja sebagai satu pasukan dan kini bersemangat untuk memberi cabaran dalam saingan membabitkan lapan pasukan dalam liga tersebut.

Kejayaan memenangi Piala Mahsuri membabitkan perlawanan empat pasukan iaitu Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang di Langkawi baru-baru ini adalah langkah awal yang positif sebelum Singa Utara memulakan kempennya tidak lama lagi, katanya.

Perak baru-baru ini dilaporkan bercadang mengadakan pertemuan dengan Tengku Hazman dalam usaha mendapatkan khidmatnya bagi pertandingan tahun hadapan.

Jamal Nasir dalam kenyataannya kepada Bernama baru-baru ini menyebut, walaupun Tengku Hazman masih mempunyai kontrak dengan Perlis, Perak mempunyai perjanjian dengan Perlis bagi membolehkan Tengku Hazman bermain untuk Perak jika mereka melepaskan pemain tengahnya, Yusri Che Lah kepada Perlis.

Tengku Hazman ketika ditanya mengenai perjanjian itu berkata, dia tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut dan berkemungkinan ianya melibatkan pihak pengurusan kedua-dua pasukan dan bukannya dia sendiri.

``Apa pun, saya tetap kekal bersama Singa Utara dan kini pasukan kami sedang giat menjalani latihan termasuk menghadapi pasukan kebangsaan Cameroon dalam perlawanan persahabatan di Kangar, malam ini,'' katanya.

Perlis mencatatkan peningkatan dalam bola sepak tempatan apabila meraih tempat ketiga Liga Perdana Satu 2003, naib juara Piala FA dan antara empat pasukan yang melayakkan diri dalam separuh akhir Piala Malaysia 2003.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dipdH5vL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harris rehatkan Rajan



ARKIB : 06/12/2003
BUAT kali pertama untuk pertemuan menentang Myanmar hari ini, jurulatih pasukan bola sepak negara, Allan Harris tidak akan menurunkan barisan terbaik dengan merehatkan dua tonggak utama - K. Rajan dan Irwan Fadli Idrus yang masih dibelenggu kecederaan buku lali.

Ini juga kali pertama gandingan Akmal Rizal Rakhli-Rajan tidak akan diturunkan bertujuan membolehkan Rajan dan Irwan pulih sepenuhnya untuk perlawanan separuh akhir nanti.

Dengan Norhafiz Zamani Misbah sudah pun terkeluar daripada senarai akibat patah tulang buku lalinya, Harris tiada pilihan selain mengharapkan pemain-pemain baru untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan yang akan menentukan juara Kumpulan B di Ho Chin Minh ini.

Walaupun kedua-dua pasukan sudah layak ke separuh akhir di Hanoi minggu depan namun menewaskan Myanmar tetap sasaran utama Harris di samping mencuba gandingan pemain yang masih cergas.

``Inilah masa terbaik untuk saya mencuba pemain-pemain yang kali pertama beraksi di peringkat antarabangsa seperti Ronny Harun, Rezuan Radzy, Shahril Shariffuddin (pertahanan), Amri Yahyah, Mohd. Norhissham Hassan (tengah) dan R. Surendran (serangan).

``Saya mahu mereka menyukarkan saya untuk memilih pemain bagi perlawanan separuh akhir nanti dengan mempamerkan persembahan meyakinkan dalam perlawanan menentang Myanmar nanti,'' ujarnya, semalam.

Setakat ini hanya penjaga gol kedua, Mohd. Faizal Abdul Rashid, Rezuan, R. Surendran dan Zainizam Marjan belum pernah sekali pun diturunkan pada Sukan SEA kali ini iaitu dalam dua perlawanan menentang Kemboja dan Singapura sebelum ini.

Manakala Ronny, Shahril, Norhissham, Amri dan Harris Safwan Kamal telah pun diberi peluang oleh Harris di mana mereka turut membantu menewaskan Kemboja 8-1 dan Singapura 2-0.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau akan mengubah posisi beberapa pemain, Harris berkata, beliau lebih suka menyenaraikan pemain baru daripada menggunakan pemain sedia ada untuk mencatat kemenangan.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan untuk tidak mengumumkan barisan kemungkinan menentang Myanmar lebih awal tetapi hanya akan memutuskannya sebelum perlawanan bermula hari ini.

Menurut Harris, jika menang, ia akan mengekalkan rekod bersih skuad negara dan dapat meningkatkan keyakinan pemain tetapi jika kalah pun, ia tidak membawa apa-apa makna kerana kelebihan untuk memilih lawan di separuh akhir ada pada pasukan dalam Kumpulan A yang hanya akan bermain, esok.

``Saya belum fikirkan pasukan mana yang akan dihadapi di separuh akhir nanti. Tetapi pasukan mana sekalipun yang akan ditemui, kita akan terima,'' tegasnya.

Buat masa ini, perebutan ke separuh akhir dari Kumpulan A bakal ditentukan tiga pasukan iaitu Vietnam, Thailand dan Indonesia. Bagaimanapun Vietnam dan Thailand dilihat mempunyai peluang lebih cerah berdasarkan prestasi semasa mereka dalam dua perlawanan sebelum ini. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4diYTO96m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tindakan Faizal mengejutkan



ARKIB : 04/12/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

PERPINDAHAN pemain pertahanan, Faizal Zainal mengejutkan skuad Perak yang mula menjalani latihan intensif bagi menghadapi cabaran Liga Super pertengahan Januari depan.

Pemain pertahanan yang berasal dari Negeri Sembilan itu membuat keputusan berpindah ke negeri lain selepas mengadakan satu pertemuan dengan pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi di Ipoh kelmarin.

Sukan Utusan difahamkan Faizal betindak demikian apabila permintaannya untuk mendapatkan kenaikan gaji ditolak oleh pihak pengurusan Perak.

Sebelum ini, pemain pertahanan itu disebut-sebut akan menyarung jersi juara Piala Malaysia, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) tetapi Faizal menafikannya.

Faizal turut menjalani latihan pada sebelah pagi kelmarin tetapi telah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya pada sebelah petangnya untuk berpindah ke negeri lain.

Penolong jurulatih, Mohd Zakaria Mohamed berkata, perpindahan Faizal agak mengejutkan kerana sebelum ini pemain pertahanan itu menafikan hasratnya menyarung jersi negeri lain.

``Saya tidak mengetahui sebab Faizal bertindak sedemikian tetapi berharap pemain pertahanan itu berjaya bersama-sama pasukan barunya kelak,'' kata Zakaria di Ipoh, semalam.

Sehubungan dengan itu, Zakaria berkata, Perak terpaksa mencari pemain pertahanan pertahanan yang berwibawa bagi mengisi kekosongan tersebut supaya benteng skuad Seladang tetap mantap.

Sebelum ini, Faizal bersama-sama Syamsol Saad, Chan Kok Heng dan Chan Wing Hoong berjaya membentuk benteng pertahanan yang digeruni oleh pihak lawan.

Kini Perak kehilangan tiga pemain berwibawa termasuk Faizal apabila Indera Putra Mahayuddin berpindah ke Pahang dan Yusri Che Lah pula menyarung jersi Perlis musim depan.

Selain itu, Kok Heng yang menjadi tonggak utama bersama-sama Faizal telah membuat keputusan bersara selepas menyarung jersi skuad Seladang lebih 15 tahun.

Bekas pemain pertahanan Sabah, Asmawi Bakiri sudah menjalani latihan bersama-sama para pemain Perak semalam dan rakannya, Shahril Arshat dijangka menyertai skuad Seladang minggu depan.

Kini persiapan skuad Seladang dikendalikan oleh Zakaria kerana jurulatih, Toni Netto masih bercuti di Brazil dan dijangka pulang awal tahun depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4diMxswUr
© Utusan Melayu (M) Bhd