Sabtu, 8 April 2017

Tindakan Faizal mengejutkan



ARKIB : 04/12/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

PERPINDAHAN pemain pertahanan, Faizal Zainal mengejutkan skuad Perak yang mula menjalani latihan intensif bagi menghadapi cabaran Liga Super pertengahan Januari depan.

Pemain pertahanan yang berasal dari Negeri Sembilan itu membuat keputusan berpindah ke negeri lain selepas mengadakan satu pertemuan dengan pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi di Ipoh kelmarin.

Sukan Utusan difahamkan Faizal betindak demikian apabila permintaannya untuk mendapatkan kenaikan gaji ditolak oleh pihak pengurusan Perak.

Sebelum ini, pemain pertahanan itu disebut-sebut akan menyarung jersi juara Piala Malaysia, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) tetapi Faizal menafikannya.

Faizal turut menjalani latihan pada sebelah pagi kelmarin tetapi telah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya pada sebelah petangnya untuk berpindah ke negeri lain.

Penolong jurulatih, Mohd Zakaria Mohamed berkata, perpindahan Faizal agak mengejutkan kerana sebelum ini pemain pertahanan itu menafikan hasratnya menyarung jersi negeri lain.

``Saya tidak mengetahui sebab Faizal bertindak sedemikian tetapi berharap pemain pertahanan itu berjaya bersama-sama pasukan barunya kelak,'' kata Zakaria di Ipoh, semalam.

Sehubungan dengan itu, Zakaria berkata, Perak terpaksa mencari pemain pertahanan pertahanan yang berwibawa bagi mengisi kekosongan tersebut supaya benteng skuad Seladang tetap mantap.

Sebelum ini, Faizal bersama-sama Syamsol Saad, Chan Kok Heng dan Chan Wing Hoong berjaya membentuk benteng pertahanan yang digeruni oleh pihak lawan.

Kini Perak kehilangan tiga pemain berwibawa termasuk Faizal apabila Indera Putra Mahayuddin berpindah ke Pahang dan Yusri Che Lah pula menyarung jersi Perlis musim depan.

Selain itu, Kok Heng yang menjadi tonggak utama bersama-sama Faizal telah membuat keputusan bersara selepas menyarung jersi skuad Seladang lebih 15 tahun.

Bekas pemain pertahanan Sabah, Asmawi Bakiri sudah menjalani latihan bersama-sama para pemain Perak semalam dan rakannya, Shahril Arshat dijangka menyertai skuad Seladang minggu depan.

Kini persiapan skuad Seladang dikendalikan oleh Zakaria kerana jurulatih, Toni Netto masih bercuti di Brazil dan dijangka pulang awal tahun depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4diMxswUr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan