Sabtu, 8 April 2017

Tengku Hazman kekal di Perlis



ARKIB : 17/12/2003

PEMAIN tengah Perlis, Tengku Hazman Raja Hassan membuat keputusan untuk terus kekal bersama skuad Singa Utara walaupun Persatuan Bolasepak Perak (PFA) berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi Liga Super 2004 yang akan bermula Februari depan, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.

Bekas ketua pasukan kebangsaan dalam Kejohanan Piala Tiger itu memberitahu, dia tidak pernah menerima tawaran secara rasmi untuk mewakili Perak walaupun pernah berbincang mengenainya secara lisan bersama pengurus pasukan skuad Seladang, Datuk Jamal Nasir Rasdi tidak lama dahulu.

``Saya bagaimanapun berterima kasih di atas tawaran Perak, namun saya meminta maaf kerana buat masa ini saya akan terus bermain dengan Perlis bagi menghadapi kejohanan tahun depan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kangar, semalam.

Menurutnya lagi, keserasian dan tiada sebarang masalah yang dihadapi selama semusim bersama pemain dan pengurusan skuad Perlis membuatkan dia bertekad untuk membantu Perlis mencabar pasukan-pasukan lain dalam Liga Super akan datang.

Katanya, semua pemain Perlis di bawah bimbingan jurulatih Norizan Bakar sanggup bekerja sebagai satu pasukan dan kini bersemangat untuk memberi cabaran dalam saingan membabitkan lapan pasukan dalam liga tersebut.

Kejayaan memenangi Piala Mahsuri membabitkan perlawanan empat pasukan iaitu Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang di Langkawi baru-baru ini adalah langkah awal yang positif sebelum Singa Utara memulakan kempennya tidak lama lagi, katanya.

Perak baru-baru ini dilaporkan bercadang mengadakan pertemuan dengan Tengku Hazman dalam usaha mendapatkan khidmatnya bagi pertandingan tahun hadapan.

Jamal Nasir dalam kenyataannya kepada Bernama baru-baru ini menyebut, walaupun Tengku Hazman masih mempunyai kontrak dengan Perlis, Perak mempunyai perjanjian dengan Perlis bagi membolehkan Tengku Hazman bermain untuk Perak jika mereka melepaskan pemain tengahnya, Yusri Che Lah kepada Perlis.

Tengku Hazman ketika ditanya mengenai perjanjian itu berkata, dia tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut dan berkemungkinan ianya melibatkan pihak pengurusan kedua-dua pasukan dan bukannya dia sendiri.

``Apa pun, saya tetap kekal bersama Singa Utara dan kini pasukan kami sedang giat menjalani latihan termasuk menghadapi pasukan kebangsaan Cameroon dalam perlawanan persahabatan di Kangar, malam ini,'' katanya.

Perlis mencatatkan peningkatan dalam bola sepak tempatan apabila meraih tempat ketiga Liga Perdana Satu 2003, naib juara Piala FA dan antara empat pasukan yang melayakkan diri dalam separuh akhir Piala Malaysia 2003.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dipdH5vL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan