ARKIB : 18/09/2003
PENYERANG Majlis Perbandaran
Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, Annuar Abu Bakar mahu beraksi buat kali kelima
dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia dan mencipta sejarah memenangi
piala tersebut bersama pasukan berstatus kelab.
Menurut pemain berpengalaman itu,
setakat ini dia pernah merasa aksi final sebanyak empat kali dan bertuah kerana
menang dalam semua penampilan tersebut.
Justeru, dia berazam menambah
koleksi kejayaannya dan kali ini bersama sebuah pasukan bertaraf kelab pula.
``Piala Malaysia adalah kejohanan
paling berprestij di negara ini dan semua pemain mahu memenanginya termasuk
saya sendiri.
``Walaupun sudah empat kali
menang piala itu, tapi masih belum puas dan kalau boleh saya mahu bermain dalam
perlawanan akhir kelima sepanjang kerjaya sebagai pemain bola sepak,'' katanya.
Annuar, 32, yang satu ketika
dahulu mendapat jolokan `supersub' kerana kerap menjaringkan gol untuk
pasukannya setiap kali dimasukkan sebagai pemain gantian, memenangi piala
berkenan ketika bersama Johor (1991) dan Selangor (1995, 1996 dan 1997).
Walaupun semakin dipanjat usia,
Annuar yang pernah menyarung jersi Pulau Pinang dan Kelantan, mempamerkan
ketajaman dengan menyumbat 11 gol untuk MPPJ dalam saingan Perdana Dua musim
ini.
Malah dia yang diarahkan bermain
di bahagian tengah ketika perlawanan suku akhir kedua menentang Pahang,
baru-baru ini tidak kisah diletakkan di mana-mana posisi.
``Kita masih tak tahu barisan
pemain yang akan diturunkan oleh jurulatih (Dollah Saleh) bagi perlawanan
dengan Perlis, Sabtu ini.
``Jika saya diturunkan, saya
sedia bermain sama ada di bahagian serangan atau tengah. Yang penting adalah
kemenangan pasukan,'' tegasnya.
Ditanya peluang MPPJ berdepan
Perlis nanti, Annuar yakin rakan-rakannya mampu menjinakkan skuad Singa Utara itu.
``Saya bukan mahu cakap besar
tapi melihat komitmen pemain dan persiapan yang dibuat, kami mampu mencatat
sejarah mara ke perlawanan akhir,'' katanya.
Menurut Annuar, kelab itu tidak
mempunyai pilihan melainkan berusaha mencari bekalan selesa sebelum berkunjung
ke Perlis, 27 September depan.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dZGCLykw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan