ARKIB : 06/12/2003
BUAT kali pertama untuk pertemuan
menentang Myanmar hari ini, jurulatih pasukan bola sepak negara, Allan Harris
tidak akan menurunkan barisan terbaik dengan merehatkan dua tonggak utama - K.
Rajan dan Irwan Fadli Idrus yang masih dibelenggu kecederaan buku lali.
Ini juga kali pertama gandingan
Akmal Rizal Rakhli-Rajan tidak akan diturunkan bertujuan membolehkan Rajan dan
Irwan pulih sepenuhnya untuk perlawanan separuh akhir nanti.
Dengan Norhafiz Zamani Misbah
sudah pun terkeluar daripada senarai akibat patah tulang buku lalinya, Harris
tiada pilihan selain mengharapkan pemain-pemain baru untuk mencatat kemenangan
dalam perlawanan yang akan menentukan juara Kumpulan B di Ho Chin Minh ini.
Walaupun kedua-dua pasukan sudah
layak ke separuh akhir di Hanoi minggu depan namun menewaskan Myanmar tetap
sasaran utama Harris di samping mencuba gandingan pemain yang masih cergas.
``Inilah masa terbaik untuk saya
mencuba pemain-pemain yang kali pertama beraksi di peringkat antarabangsa
seperti Ronny Harun, Rezuan Radzy, Shahril Shariffuddin (pertahanan), Amri
Yahyah, Mohd. Norhissham Hassan (tengah) dan R. Surendran (serangan).
``Saya mahu mereka menyukarkan
saya untuk memilih pemain bagi perlawanan separuh akhir nanti dengan
mempamerkan persembahan meyakinkan dalam perlawanan menentang Myanmar nanti,''
ujarnya, semalam.
Setakat ini hanya penjaga gol
kedua, Mohd. Faizal Abdul Rashid, Rezuan, R. Surendran dan Zainizam Marjan
belum pernah sekali pun diturunkan pada Sukan SEA kali ini iaitu dalam dua
perlawanan menentang Kemboja dan Singapura sebelum ini.
Manakala Ronny, Shahril,
Norhissham, Amri dan Harris Safwan Kamal telah pun diberi peluang oleh Harris
di mana mereka turut membantu menewaskan Kemboja 8-1 dan Singapura 2-0.
Ditanya mengenai kemungkinan
beliau akan mengubah posisi beberapa pemain, Harris berkata, beliau lebih suka
menyenaraikan pemain baru daripada menggunakan pemain sedia ada untuk mencatat
kemenangan.
Sehubungan itu, beliau mengambil
keputusan untuk tidak mengumumkan barisan kemungkinan menentang Myanmar lebih
awal tetapi hanya akan memutuskannya sebelum perlawanan bermula hari ini.
Menurut Harris, jika menang, ia
akan mengekalkan rekod bersih skuad negara dan dapat meningkatkan keyakinan
pemain tetapi jika kalah pun, ia tidak membawa apa-apa makna kerana kelebihan
untuk memilih lawan di separuh akhir ada pada pasukan dalam Kumpulan A yang
hanya akan bermain, esok.
``Saya belum fikirkan pasukan
mana yang akan dihadapi di separuh akhir nanti. Tetapi pasukan mana sekalipun
yang akan ditemui, kita akan terima,'' tegasnya.
Buat masa ini, perebutan ke
separuh akhir dari Kumpulan A bakal ditentukan tiga pasukan iaitu Vietnam,
Thailand dan Indonesia. Bagaimanapun Vietnam dan Thailand dilihat mempunyai
peluang lebih cerah berdasarkan prestasi semasa mereka dalam dua perlawanan
sebelum ini. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4diYTO96m
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan