TUGAS berat menanti bekas pemain
kebangsaan, Ahmad Yusof apabila beliau terpaksa bertindak sebagai jurulatih
bidan terjun ekoran peletakan jawatan ketua jurulatih Pahang, Ralf Borges
Ferreira.
Berita mengejut itu hanya
diketahui oleh Ahmad Yusof semalam sebaik sahaja Ferreira membuat keputusan
drastik untuk meletakkan jawatan.
Dalam keadaan tersepit, Persatuan
Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terpaksa membuat keputusan untuk mengisi
kekosongan itu.
Kata sepakat akhirnya dicapai
apabila Ahmad Yusof, yang juga bekas pemain Pahang diberi kepercayaan menggalas
tanggungjawab sebagai jurulatih pasukan Tok Gajah buat sementara waktu.
Penolong Jurulatih Pahang, Yunus
Aliff masih berada di Jerman dan dijangka hanya pulang ke tanah air sebaik
sahaja persaingan Piala Malaysia bermula.
Ahmad Yusof berkata, beliau
terpaksa memikul tanggungjawab tersebut sementara menanti kepulangan Yunus
Aliff.
``Saya baru terima berita ini
semalam dan saya terkejut apabila diberitahu bahawa saya perlu melatih pasukan
Pahang buat sementara waktu ekoran peletakan jawatan Ferreira,'' katanya.
Ahmad Yusof memberitahu, latihan
akan diteruskan seperti biasa dan beliau akan menyambung peranan yang dimainkan
Ferreira sebelum ini terutamanya dalam mengekalkan teknik permainan.
Sementara itu, Ferreira, 45,
yakin Pahang mampu bersaing dalam kancah Piala Malaysia 2003 yang akan bermula
pada 20 Ogos ini walaupun tanpa sentuhannya.
Malah beliau percaya pasukan
Pahang mempunyai masa depan cerah dalam sukan bola sepak kerana memiliki ramai
pemain pelapis apatah lagi dengan adanya jurulatih baru.
``Berdasarkan prestasi dan
disiplin yang ditunjukkan oleh para pemain pada perlawanan sebelum ini, saya
yakin, walaupun tanpa saya mereka pasti akan berjaya,'' katanya kepada
pemberita di Kuantan, semalam.
Ditanya mengenai keputusan
drastiknya itu, Ferreira menjelaskan, beliau telah memikirkan hasratnya untuk
meletakkan jawatan sejak sebulan lalu.
``Saya perlu pulang ke Brazil
kerana keluarga saya memerlukan saya. Saya bekerja di Malaysia manakala isteri
dan anak saya pula berada jauh di Brazil.
``Anak perempuan saya baru
menamatkan pengajian di universiti bulan lalu dan baru memulakan kariernya di
Brazil. Dia amat memerlukan sokongan saya,'' ujarnya.
Ferreira juga menolak spekulasi
bahawa beliau mempunyai masalah dengan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang
(PBNP).
Menurutnya, hubungannya dengan
PBNP sangat rapat dan beliau berasa gembira sepanjang berada di Kuantan.
PELUMBA motosikal, Safrizan Buang
mempamerkan aksi konsisten untuk mendahului pesaing lain dalam Kejuaraan Cub
Prix Petronas Sprinta Malaysia AAM 2003.
Dia yang mewakili pasukan MOS Ah
Hong Yamaha itu memungut 100 mata meninggalkan pencabar terdekat Ma Woon Loon
yang mengumpul 58 mata setakat ini.
Nani Zairul Adnan yang mewakili
pasukan Shell KF Yamaha pula berada di tempat ketiga dengan 53 mata.
Safrizan berazam untuk
menjarakkan lagi kedudukan dengan menjuarai pusingan kelima yang akan diadakan
di Melaka minggu ini.
``Saya amat berpuas hati dengan
persembahan selama ini dan mahu mengekalkan persembahan mantap di pusingan
seterusnya. Jika saya dapat mengelak dari melakukan kesilapan dan masalah
teknikal, peluang untuk menjadi juara keseluruhan adalah tinggi,'' katanya.
Sementara itu, Woon Loon yang
hanya dipisahkan sebanyak lima mata berbanding Nani mahu melakukan tunggangan
terbaik bagi mengelak dari dipintas.
``Saya akan cuba menunggang
dengan sempurna dan strategi saya ialah memperoleh keputusan konsisten pada
pusingan akan datang. Jika dapat menamatkan perlumbaan di depan Nani dalam
semua perlumbaan, saya boleh mendapat tempat kedua keseluruhan,'' kata Woon
Loon.
Perlumbaan pusingan kelima di
Kawasan Perindustrian Londang itu akan bermula pada pukul 10 pagi dengan sesi
kelayakan dan acara akhir bermula pada 1.20 petang.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dC7l5J3q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan