ARKIB : 17/11/2003
BAGAIKAN `sireh pulang ke
gagang', teka-teki Yusri Che Lah akhirnya terjawab apabila pemain tengah Perak
itu akhirnya kembali ke pangkuan negeri asalnya, Perlis untuk menyarung jersi
biru kuning bagi saingan bola sepak Liga Super 2004 tahun depan.
Persetujuan itu dicapai oleh
Yusri yang bersetuju menerima surat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak
Perlis (PFA) kelmarin meskipun kontraknya dengan Perak masih berbaki sehingga
akhir tahun ini.
Perkara itu disahkan oleh
Pengurus pasukan, Adzmi Saad berhubung penghijrahan pemain berusia 27 tahun itu
ke negeri tanah tumpah darahnya bagi aksi musim depan.
Selain Yusri, Perlis berjaya
memancing tiga lagi pemain luar untuk memantapkan lagi skuad Singa Utara iaitu
pemain pertahanan dan sayap Kedah, Manzoor Azwira Abdul Wahid dan Zainuddin
Ariffin serta Mohd. Khairi Zainuddin dari Telekom Melaka.
Satu majlis menandatangani
kontrak akan diadakan pada akhir tahun ini apabila kontrak para pemain terbabit
itu dengan pasukan asal masing-masing tamat 31 Disember ini, ujar Adzmi.
Serentak dengan pembelian para
pemain berkenaan, Perlis mungkin menggugurkan penyerangnya, Che Zambil Ahmad
dan Mohd. Zulfakri Ashaari berikutan prestasi mereka yang tidak memuaskan sepanjang
kancah Piala Malaysia musim lalu.
Adzmi berkata, desas-desus
mengenai kedudukan Tengku Hazman Raja Hassan dan Adrien Jurad Chamrong yang
disebut-sebut akan berhijrah ke Perak dan Kedah juga berakhir apabila kedua-dua
tonggak itu bersetuju untuk menyarung jersi Singa Utara musim depan.
``Manakala Muhammad Khairunnisam
yang dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain juga menyatakan persetujuannya
untuk kekal bersama Perlis pada musim depan,'' katanya kepada Sukan Utusan
ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, katanya, Perlis
sedang berusaha untuk mendapatkan dua lagi pemain import dari Afrika selain
Phillimon Chipieta dan Lamin Conteh Jr. bagi memantapkan barisan pertahanan dan
te-ngah pasukan tersebut.
``Kita sedang merisik seorang
pemain dari Zambia yang juga rakan kepada Conteh Jr. untuk beraksi dengan Singa
Utara,'' jelasnya.
Mengulas kehadiran Yusri, Adzmi
berkata, pihaknya merasa lega apabila berjaya mendapatkan khidmat pemain yang
dianggap berbisa itu bagi mengisi kelemahan yang wujud di barisan tengah.
Menurutnya, kelemahan di bahagian
itu merupakan salah satu punca utama Perlis gagal ke peringkat akhir pada musim
lalu sekali gus meranapkan impian untuk menjulang Piala Malaysia.
Yusri yang berasal dari Padang
Besar itu meninggalkan Perlis pada tahun 2000 untuk membantu Selangor muncul
sebagai juara Piala Malaysia pada tahun lalu selain menjadi perancang utama
kejayaan Perak menjuarai Liga Perdana Satu musim ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dhjqOkao
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan