Sabtu, 8 April 2017

Sentuhan Yunus bangkitkan Pulau Pinang



ARKIB : 30/10/2003

YUNUS Alif yang bakal memberi sentuhan baru kepada Pulau Pinang menyifatkan hasrat memenangi Piala Malaysia pada musim depan sebagai cabaran yang memerlukan kombinasi mantap antara jurulatih dan pemain.

Menurutnya, bagi mencapai impian itu ia perlu digabungkan oleh kemahiran pemain di samping perancangan dan strategi yang baik oleh jurulatih.

Bagaimanapun bekas jurulatih Pahang itu yakin skuad Pulau Mutiara mampu melangkah jauh dengan sokongan yang diberikan oleh pengurusan di samping semangat tinggi pemain.

``Sememangnya setiap pasukan mahu memenangi piala berprestij itu dan tidak terkecuali Pulau Pinang yang kali terakhir memenanginya hampir 30 tahun lalu.

``Saya merasakan cabaran untuk mencapainya (Piala Malaysia) perlu turut dipikul bersama antara jurulatih dan pemain. Tanpa gandingan mantap itu sukar bagi kita untuk mencapai apa sahaja impian,'' katanya ketika dihubungi di Kuantan, semalam.

Yunus yang mengambil alih jawatan jurulatih Pulau Pinang daripada Irfan Bakti dijangka menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Harimau Kumbang sekembali daripada Korea Selatan awal Disember ini.

Beliau yang berlepas Sabtu ini akan mengikuti modul akhir Diploma Kejurulatihan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) bersama jurulatih pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, K. Rajagopal, penolong jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, penolong jurulatih Johor FC, Azuan Zain dan jurulatih Bawah 16 Bukit Jalil, Aminuddin Hussein.

``Pengalaman dan ilmu yang ditimba daripada kursus selama tiga minggu itu akan saya curahkan kepada pemain,'' ujar jurulatih yang berasal dari Kuantan itu.

Yunus memberitahu, beliau memerlukan sokongan dan masa untuk membentuk satu pasukan yang mantap bagi menghadapi saingan sengit pada Liga Super musim depan.

``Saya mempunyai tempoh lapan minggu untuk bersama pemain sebelum bermula pertandingan yang dijangka bermula akhir Januari depan,'' katanya.

Menyentuh corak permainan yang bakal diterapkan Yunus berkata, sebagai langkah permulaan beliau terlebih dahulu perlu mengenali dengan lebih dekat para pemain Pulau Pinang sebelum boleh membuat perancangan.

``Saya mengenali pembantu jurulatih (Zabidi Hassan) dengan rapat tapi para pemain saya hanya kenal mereka daripada luaran sahaja. Saya akan gunakan tempoh dua bulan sebelum pertandingan untuk membentuk pasukan yang mantap'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4deDIEh2v
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan