ARKIB : 30/09/2003
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN KELAB MPPJ Selangor mendapat
kekuatan tambahan apabila pemain tengah, Azrin Shah Zainal sudah pulih dari
kecederaan pangkal paha dan dijangka diturunkan pada perlawanan akhir bola
sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.
Pengurus MPPJ, Redzuan Sintol
berkata, pemain itu sudah tidak berasa sakit pada bahagian paha dan dia akan
menjalani pemeriksaan di Majlis Sukan Negara bagi mendapatkan pengesahan
tentang keadaan kecederaan yang dialaminya.
``Dia memberitahu keadaannya
sudah seperti biasa, tetapi walaupun kita yakin dia sudah pulih, dia masih
perlu menjalani pemeriksaan lanjut,'' katanya semalam.
Jelasnya, kehadiran semula Azrin
tepat pada masanya kerana dia mampu memperkuat bahagian tengah kelab itu bagi
perlawanan menentang Sabah nanti.
``Walaupun kita menunjukkan
persembahan baik dalam beberapa perlawanan lalu, tetapi kita memang terasa
kehilangan Azrin.
``Dia adalah pemain yang banyak
melorongkan bola kepada penyerang kita dan saya yakin dia akan menambah
kekuatan MPPJ pada perlawanan akhir nanti,'' ujarnya.
Persembahan cemerlang Azrin musim
ini turut menarik perhatian jurulatih skuad kebangsaan apabila menyenaraikan
pemain itu bagi kempen kelayakan Piala Asia yang diadakan di Stadium Nasional
Bukit Jalil pada 8 Oktober depan.
Malaysia diundi bersama Myanmar,
Bahrain dan Iraq dalam Kumpulan F.
MPPJ mencipta sejarah menjadi
pasukan bertaraf kelab pertama mara ke perlawanan akhir pada 4 Oktober depan.
Mereka menewaskan Perlis pada perlawanan
separuh akhir dengan agregat 4-2.
Sementara itu, Redzuan berharap
gelanggang perlawanan akhir Sabtu ini dikekalkan di Stadium Nasional, Bukit
Jalil seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Ujarnya, jika diadakan di
gelanggang yang lebih kecil ia mungkin tidak dapat menampung jumlah penonton
yang mahu menyaksikan perlawanan itu nanti.
``Saya yakin ramai yang mahu
menonton perlawanan akhir ini kerana buat pertama kali ia melibatkan pasukan
kelab dan negeri.
``Saya juga harap ribuan
penyokong Selangor akan datang memberi sokongan kepada MPPJ dalam perlawanan
dengan Sabah nanti,'' katanya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) sebelum ini dilaporkan menimbang kemungkinan mengubah gelanggang kerana
bimbang ia tidak dihadiri ramai penonton.
Jumlah peminat MPPJ dan Sabah
dijangka tidak dapat memenuhi kapasiti stadium tersebut yang boleh menampung
seramai 80,000 penonton.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dc2X0AGz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan