Sabtu, 25 Mac 2017

Ganjaran persaraan buat Khairul Azman

ARKIB : 30/10/2002
PENJAGA gol Sabah, Khairul Azman Mohamed mahu memastikan Skuad Badak merangkul Piala Malaysia kali ini sebagai hadiah persaraannya selepas tujuh tahun bersama pasukan itu.

``Matlamat utama kini ialah memastikan Sabah membawa pulang Piala Malaysia sebagai hadiah persaraan paling manis buat saya,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kota Kinabalu, semalam.

Penjaga gol yang mula menyarung jersi Skuad Badak pada 1995 itu mendapat pujian ramai selepas beraksi cemerlang dalam pusingan kedua separuh akhir menentang Perak di Ipoh, Sabtu lalu.

Ini meletakkan gawang Sabah yang dikawal oleh Khairul dan gawang gergasi Merah Kuning oleh Azmin Azram Aziz dilihat mempunyai kekuatan seimbang yang bakal menyaksikan kedua-dua jentera penyerang perlu bekerja keras sebelum boleh menembusi pintu gol lawan masing-masing.

Bagaimanapun, Khairul tidak mahu terlena dibuai oleh pujian melangit oleh para penyokong Sabah kerana apa pun boleh berlaku sewaktu di padang.

Yang pasti beliau akan menggunakan segala pengalamannya supaya tidak ditembusi oleh skuad Merah Kuning yang dibarisi oleh penyerang veteran, Azman Adnan dan penyerang import Liberia, Mass Sarr Jr.

``Saya harap peminat tidak terlalu memuji berdasarkan prestasi menentang Perak tempohari kerana kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama rata untuk memenangi perlawanan nanti,'' katanya.

Pertemuan itu bakal mengulangi sejarah perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1996 di mana Selangor menewaskan Sabah dengan sepakan penalti 5-4.

Sebaliknya, Selangor bukanlah asing dalam beraksi pada perlawanan akhir kerana ini adalah cubaan mereka untuk melebarkan rekod menjulang Piala Malaysia buat kali ke 29.

Sabah dijangka menghadapi tugas berat menentang Selangor kerana tiga tonggak utama mereka tidak dapat beraksi gara-gara dilayangkan kad kuning kedua semasa menentang Skuad Seladang.

Paling terasa ialah kekosongan di bahagian pertahanan apabila `orang besi' Jelius Ating yang kerap kali bertindak mematahkan serangan pihak lawan hanya dapat menyaksikan perlawanan di bangku simpanan.

Begitu juga dengan pemain tengah, K. Sanbagamaran dan Shahrin Majid yang sering menjadi perancang kepada bahagian serangan pasukan Sabah.

Ini sekaligus mencacatkan rentak ketua pasukan baru, Shahril Arshat yang selama ini bergandingan dengan dua `S' di bahagian tengah.

Bagaimanapun, Sabah dijangka akan mempertaruhkan Burhan Ajui bagi menggantikan Jelius yang bakal berganding dengan Madzalan Emoi dan Reitahudin Emran di bahagian pertahanan.

Jentera bahagian tengah pula akan menyaksikan gandingan Shahril, Rosdin Wasli dan Asmawi Bakiri untuk membantu jentera serangan yang diterajui oleh Zainizam Marjan dan pemain import Liberia, Josiah Seton.

Khairul berkata, walaupun terasa `kehilangan' tetapi beliau tetap yakin pemain yang menggantikan ketiga-tiga tonggak itu mampu memberi persembahan terbaik untuk membantu Sabah menjulang Piala Malaysia.

``Saya harap penyokong Sabah akan datang beramai-ramai untuk memberi sokongan padu pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, 2 November ini,'' tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cOS4e23t
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan