ARKIB : 29/03/2003
PENYERANG Sarawak, Sapian Wahid
merayu penyokong Bujang Senang memberi sepenuh kepercayaan kepadanya pada
perlawanan Liga Perdana Satu menentang Kedah di Stadium Sarawak malam ini
lebih-lebih lagi ketika berdepan abangnya sendiri, Mazlan sebagai penunggu
gawang lawan, lapor RADHUAN HUSSAIN.
Pemain kelahiran Melaka yang
sebelum ini menyarung jersi Terengganu berkata, beliau amat berharap para
peminat tempatan memberinya peluang membuktikan kemampuannya menjaringkan gol
biarpun padah terpaksa ditanggung abangnya, Mazlan.
Sapian mengakui sebelum ini
sering dihantui tanggapan negatif penyokong pasukan yang disertainya termasuk
skuad Penyu yang tidak berpuas hati kononnya beliau sengaja enggan menjaringkan
gol semata-mata apabila berdepan dengan Mazlan.
``Saya merayu kepada para
peminat (Bujang Senang) supaya jangan buat tanggapan serong terhadap saya,
walaupun abang sendiri (Mazlan) menjaga gawang Kedah malam ini, saya tetap
bersungguh untuk menjaringkan gol.
``Dia (Mazlan) tetap abang saya
tapi kita mesti ingat apabila di padang, dia tetap lawan dan saya mesti
`kalahkan' dia,'' katanya di Kuching semalam.
Sapian menyatakan perkara itu
sebagai penjelasan kepada salah anggap peminat bola sepak kononnya beliau tidak
akan beraksi seperti mana sepatutnya apabila penjaga gol lawan adalah abangnya
sendiri.
Pemain itu juga tidak menafikan
ada tanggapan peminat bahawa beliau gentarkan Mazlan sehingga aksi serta
cubaannya memburu gol sering tidak menjadi.
``Buat apa saya nak gentar
dengan abang saya, saya tak takut malah ada juga saya dengar orang kata, kalau
berjaya jaringkan gol, abang saya sengaja beri peluang,'' tegasnya.
Sapian dan Mazlan pada suatu
ketika pernah bersama pasukan Bujang Senang iaitu di musim 1996.
Bagaimanapun Sapian kemudian ke
Terengganu sehingga musim lalu manakala khidmat Mazlan bersama Bujang Senang
sehingga ke penghujung 2001 sebelum ke Kedah.
SArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4cjR3XVS7
SUMBER Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan