Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
ZAINAL (dua dari kiri) dan Shafiqul Islam berjabat tangan selepas sidang akhbar menjelang saingan Piala AFC 2016 antara Selangor dan Sheikh Jamal di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini. Turut kelihatan kapten Selangor, Mohd. Shahrom Abdul Kalam (kiri) dan kapten Sheikh Jamal, Enamul Haque.
SELEPAS mencatatkan prestasi tidak menentu dalam kempen Liga Super, Selangor melaungkan amaran untuk bangkit mencatat kemenangan dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 2016 (AFC) menentang Sheikh Jamal di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.
Atas kertas, sudah pasti skuad kendalian Zainal Abidin Hassan (gambar) itu tiada masalah untuk menundukkan pasukan dari Bangladesh tersebut yang seakan-akan sudah mengangkat bendera putih apabila sekadar membawa 14 pemain sahaja pada aksi keempat Kumpulan E.
Dengan keadaan pasukan pelawat yang tidak lengkap memberi keyakinan tinggi kepada Gergasi Merah untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
Zainal berkata, beliau dia tidak mahu Selangor memandang rendah saingan pasukan lawan, sebaliknya mahu para pemain bangkit mencipta kemenangan selepas tewas 1-3 kepada Felda United dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu.
Katanya, Gergasi Merah tiada pilihan selain mencipta kemenangan agar peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya lebih terbuka.
“Sasaran kita adalah mengutip tiga mata penuh kerana jika kita gagal mencipta kemenangan malam esok (hari ini), ia akan membawa kesukaran kepada Selangor. Jadi, misi kita adalah wajib menang bagi meneruskan saingan dalam Piala AFC 2016.
“Saya harap pemain tak ambil mudah walaupun kami menang 4-3 ke atas mereka di Dhaka (15 Mac lalu) dan kali ini beraksi pula di tempat sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
Selepas tiga perlawanan, Selangor menghuni tangga ketiga dengan empat mata, di belakang pendahulu Kumpulan E, Tampines Rovers (Singapura) dengan tujuh mata dan Ceres dari Filipina (lima mata).
Sheikh Jamal pula gagal meraih sebarang mata, sekali gus berada di tangga keempat selepas tewas ketiga-tiga perlawanan.
Dalam pada itu, pada perlawanan tersebut, Zainal tidak menurunkan Mauro Olivi selepas direhatkan seketika oleh pihak pengurusan berikutan isu pergaduhan dalam bilik persalinan yang melibatkan penyerang import dari Argentina itu dengan pemain tengah, Mohd. Hafiz Kamal.
Sementara itu, kapten Selangor, Mohd. Shahrom Abdul Kalam menyifatkan ketiadaan Olivi tidak menjejaskan rentak permainan mereka dan mahu pasukannya kekal fokus untuk memburu tiga mata di Selayang.
“Kami akui selepas tewas dengan Felda United semangat sedikit jatuh, namun selepas melakukan ‘post-mortem’, moral pemain kembali pulih untuk berdepan saingan esok (malam ini) dan tekad mencatat kemenangan buat pasukan,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz45bKAPrdd Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan