ARKIB :
09/01/1998
AZMAN ADNAN...
Tindakannya menyertai semula Selangor mencetuskan tanda tanya selepas dia
dikatakan telah berunding dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS)
untuk menyertai pasukan itu musim depan.
TINDAKAN
penyerang kebangsaan, Azman Adnan menandatangani kontrak bersama Selangor
kelmarin masih belum meredakan kontroversi yang timbul mengenai pemain
berkenaan.
Malah pengumuman
pengurus pasukan Selangor yang baru, Datuk Mokhtar Ahmad bahawa segala
spekulasi mengenai isu perpindahan Azman telah tamat belum mampu menjawab
banyak persoalan yang timbul.
Antaranya, wajah
murung Azman ketika menandatangani kontrak bersama Selangor mengundang pelbagai
andaian mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik majlis yang berlangsung
kelmarin.
Setiausaha
Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Abdullah Sani Abdul Hamid yang
ternyata amat kecewa dengan tindakan Azman itu mempersoalkan tindakan pemain itu
yang tidak memaklumkan langsung kepada beliau mengenai keputusan pemain itu.
Akibat daripada
tindakan Azman itu, para pegawai PBNS termasuk presidennya, Tan Sri Mohd. Isa
Abdul Samad telah dibiarkan menunggu kemunculan Azman selama tiga jam kelmarin
bagi majlis menandatangani kontrak dengan pemain itu.
Malah bapa
pemain itu juga telah menghubungi Abdullah Sani pada pagi kelmarin dan
menyatakan bahawa dia tidak dapat menghubungi Azman sejak malam Selasa lalu.
Menurut Abdullah
Sani, sebelum ini beliau telah mengingatkan Azman agar tidak mengulangi
'sejarah silam' yang dilakukan oleh rakan sepasukannya di Selangor, Zainal
Abidin Hassan kepada Negeri Sembilan tahun lalu.
''Berikutan itu,
Azman telah berjanji apa yang telah dilakukan oleh Zainal tidak akan
berulang,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Menurutnya,
beliau juga telah dimaklumkan bahawa penduduk di sekitar Pedas - kampung asal
keluarga Azman - berasa amat gembira apabila mendengar berita Azman akan pulang
ke Negeri Sembilan.
Bagaimanapun,
apa yang diharapkan tidak berlaku walaupun Azman telah meminta PBNS mencari
sebuah rumah untuknya di Seremban dan mahu berpindah dalam masa seminggu.
Katanya, beliau
menganggap Azman ikhlas apabila menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Negeri
Sembilan pada musim ini, malah Azman juga dikatakan telah menghubungi
rakan-rakannya di negeri ini dan menyatakan hasrat yang sama.
Jelasnya, beliau
tidak kecewa jika Azman sebenarnya mahu memilih Selangor sebagai pasukan untuk
beraksi musim ini.
''Tetapi
mengapakan majlis menandatangani kontrak dengan Selangor diadakan secara
tergesa-gesa jika benar Azman telah bersetuju untuk terus bersama Selangor.
''Wajah muram
Azman ketika majlis itu juga tidak menggambarkan kegembiraan yang sepatutnya
berlaku semasa majlis seperti itu diadakan,'' ujarnya.
Bagi mengatasi
masalah pemain mungkir janji, Abdullah Sani mencadangkan kemungkinan Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara itu bagi mengelakkan ia berulang.
Katanya, langkah
tersebut penting bagi mengelak mana-mana pemain daripada mudah memberikan janji
tetapi mungkir pada saat-saat akhir.
Dalam
perkembangan yang berkaitan, Abdullah Sani juga menggesa Mokhtar berhenti
mengeluarkan kenyataan yang bersifat sombong sehingga boleh menjejaskan
hubungan baik dengan persatuan bola sepak yang lain.
Sebagai
profesional, katanya, Mokhtar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan
yang boleh menyinggung pihak-pihak lain.
Namun demikian,
Abdullah Sani sempat mengucapkan tahniah kepada Mokhtar dan berharap pasukan
Selangor mampu mengulangi kejayaan musim lalu.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FDwxkcHS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan