Sabtu, 23 Julai 2016

Azman kecewakan Presiden PBNS

ARKIB : 08/01/1998
 
MILIK SELANGOR... Pengurus Selangor, Mokhtar Ahmad (tengah) bersama Azman Adnan (kiri) dan Zainal Abidin Hassan selepas majlis menandatangani kontrak di Wisma FAS, Kelana Jaya, semalam.

AZMAN Adnan terus mencetuskan kontroversi apabila memilih untuk kembali menyarung jersi Selangor, selepas dikatakan bersetuju menyertai Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) musim ini.

Segala spekulasi berhubung perpindahan Azman terjawab semalam, apabila dia menandatangani kontrak setahun dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Wisma FAS, Kelana Jaya bersama pemain veteran Zainal Abidin Hassan.

Keputusan Azman nyata meriangkan pengurusan FAS serta penyokong Selangor, tetapi tindakannya itu mengecewakan pengurusan PBNS yang menunggu hampir tiga jam di Seremban kerana mengadakan majlis yang sama untuk pemain terbabit.

Turut menghadiri majlis menandatangani kontrak berkenaan termasuklah Presiden PBNS yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta pegawainya.

Pengurus Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad nyata terkejut ketika diberitahu Azman dikaitkan dengan majlis berkenaan yang turut membabitkan jurulatih Negeri Sembilan M. Karathu serta bekas pemain import Sabah Scott Olleranshaw.

''Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku, tetapi apa yang saya pasti Azman tidak pernah menurunkan tandatangannya kepada mana-mana pasukan selain Selangor,'' katanya pada sidang akhbar, semalam.

Menurut Mokhtar, Azman sememangnya sudah memberi persetujuan utuk kekal bersama Selangor walaupun beliau mengambil alih jawatan pengurus daripada Presiden FAS, Datuk Mohd. Aini Taib.

''Sejak awal lagi saya rasa tidak timbul soal Azman akan menyarung jersi Negeri Sembilan atau Pahang seperti yang digembar-gemburkan.

''Ini kerana Presiden (Aini) sudah memberitahu saya, tiada sebarang perubahan akan berlaku dalam pasukan Selangor ketika beliau menyerahkan jawatan pengurus kepada saya,'' katanya lagi.

Azman, 26, menyertai Selangor pada 1993 selepas terbabit kontroversi yuran perpindahan RM1 juta yang dituntut Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL).

Dia menjadi pemain yang paling diminati penyokong Merah Kuning selepas itu kerana membantu pasukan berkenaan mencipta kejayaan hatrik Piala Malaysia selain kejayaan menjuarai divisyen satu (1994), Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Menurut Mokhtar, kandungan kontrak yang ditawarkan kepada Azman adalah mengikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu tidak melebihi RM5,000 sebulan beserta bonus RM3,000.

Katanya, tindakan Azman untuk kekal bersama juara Piala Malaysia itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Selangor memiliki segala ciri-ciri yang diperlukan pemain terbabit.

''Azman rasanya sudah cukup sinonim dengan pasukan Selangor, dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukannya,'' katanya lagi.

Menurut Mokhtar, keputusan Azman itu tidak perlu dipertikaikan kerana pemain terbabit bebas memilih pasukan yang diminatinya selagi dia terikat dengan mana-mana pasukan.

Sementara itu, mengulas kedudukan pemain import Selangor, menurut Mokhtar setakat ini pasukan itu hanya memiliki seorang pemain iaitu Alexander Freeman menandatangani kontrak minggu lalu.

Manakala kontrak pemain pertahanan dari Wales, Jeff Hopkins tamat hujung tahun lalu dan FAS sudahpun mengemukakan sokongan untuk menawarkan kontrak baru kepada pemain terbabit.

Mengulas kedudukan ketua pasukan Mehmet Durakovic, Mokhtar berkata keputusan sama ada mengekalkan khidmat pemain terbabit hanya akan diputuskan selepas mengambil kira soal kewangan FAS.

''Melihat kepada situasi ekonomi negara, FAS sememangnya bercadang untuk mengurangkan perbelanjaan. Keputusan sama ada menggunakan khidmat lebih dari dua pemain import hanya akan diputuskan selepas melihat kedudukan kewangan persatuan.

''Bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada hasil perbincangan dengan jurulatih Steve Wicks.

''Sekiranya beliau berpendapat ia adalah sesuatu yang perlu, kami akan mempertimbangkannya,'' katanya lagi.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FDmS4kei © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan