Rabu, 27 Julai 2016

Melaka sudah ada pemain

ARKIB : 27/02/1998
MESKIPUN persiapan pasukan Liga Perdana Melaka terganggu dengan langkah pengswastaannya, pasukan itu akhirnya memiliki barisan pemainnya sendiri apabila 19 pemain menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), semalam, AMIRUDDIN HARUN melaporkan.

Sebanyak 16 pemain tempatan dan tiga pemain import - dua dari Nigeria dan satu dari Cameroon menandatangani kontrak dengan MAFA pada majlis ringkas di pejabat persatuan itu petang semalam.

Pemain tempatan yang bakal menyarung jersi pasukan Melaka ialah A. Zainal Rabin, Rajkumar, Sazali Abdul Wahid, Ong Kim Swee, K. Ravisandran, Leong Hong Seng, S. Balan dan Mohamed Faisal Mohd. Isa.

Turut terpilih mewakili pasukan Sang Kancil musim ini ialah Azni Ariffin, Azrin Shah Zainal, Md. Nor Sheikh Ibrahim, Paul Raj, Hilmi Hassan Farouke, Ridzuan Abu Shah, dan Arfandy Lokman.

Pemain import yang menandatangani kontrak pula ialah dua bekas pemain Terengganu, Edwards Dipreye dan John Onwudegwu, kedua-duanya berasal dari Nigeria serta Belle Belle Yves dari Cameroon.

Senarai pemain musim ini juga menyaksikan empat pemain Liga Perdana Melaka musim lalu, iaitu Leong Hong Seng, K. Ravichandran, S. Balan dan Hilmi Hassan Farouke kekal dengan pasukan Melaka.

Timbalan Presiden MAFA, Abdul Aziz Majid pada sidang akhbar selepas majlis itu berkata, walaupun barisan pemain lewat dikemukakan tetapi mereka telahpun digandingkan dalam latihan sebelum ini.

''Mereka sudah berlatih bersama-sama di bawah jurulatih G. Torairaju dan kini giat mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan sebelum beraksi dalam Liga Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang meleset, gaji yang ditawarkan kepada pemain adalah tidak terlalu tinggi iaitu antara RM1,800 hingga RM4,000 dan kedudukan ini turut difahami oleh pemain sendiri.

Bagaimanapun, MAFA berjanji untuk menambah elaun sebanyak 10 peratus sekiranya pasukan itu naik ke bahagian satu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbnQVNoN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan