ARKIB : 25/01/2006
KUALA LUMPUR - Persatuan
Jurulatih Bola Sepak Malaysia melahirkan rasa kesal dengan kenyataan bekas
pemain kebangsaan, Serbegeth Singh (Shebby) yang disifatkan menjejaskan maruah
semua jurulatih yang memiliki sijil kejurulatihan.
Shebby dalam satu kenyataan di
sebuah akhbar (bukan Utusan Malaysia) menyebut bekas pemain skuad Kuala Lumpur
itu tidak perlu memiliki sebarang kelayakan kejurulatihan tetapi berpendapat
pendidikan lebih penting daripada tunjuk ajar yang diperoleh di bilik darjah.
Setiausaha Persatuan Jurulatih
Bola Sepak Malaysia, E.R Subramaniam menegaskan, kenyataan Shebby itu
menjejaskan reputasi jurulatih yang telah mengikuti program kejurulatihan
daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurutnya, apa yang dinyatakan
oleh Shebby itu adalah tidak benar.
``Nanti orang akan berpendapat
seorang pemain bola sepak yang baik boleh menjadi jurulatih yang baik,''
ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Shebby adalah jurulatih untuk
`My Team' - program realiti bagi mencungkil bakat pemain amatur dari seluruh
negara bagi memilih 22 peserta terbaik dari 13 negeri.
Mengulas lanjut Subramaniam
berkata, pemain yang hebat tidak semestinya menjadi jurulatih yang baik.
Beliau mengambil contoh
bintang-bintang bola sepak dunia seperti Pele, Johan Cruyff, Michel Platini dan
Kevin Keegan yang gagal sebagai jurulatih.
``Saya pasti mereka mengharungi
suasana gemilang di zaman mereka beraksi terutama di Piala Dunia tetapi ia
tidak terbukti mereka adalah jurulatih berjaya,'' ujarnya.
Beliau menambah, Sir Alex
Ferguson, Jose Maurinho, Carlos Alberto Pareira dan Rafael Benitez walaupun
mereka tidak menyarung jersi kebangsaan atau bermain di Piala Dunia tetapi
mereka adalah jurulatih terbaik dunia masa kini.
``Apa yang membuatkan mereka
menjadi jurulatih yang berjaya?,'' ujar Subramaniam.
Tegasnya, beliau tidak
menafikan pengalaman sebagai pemain penting untuk menjadi jurulatih.
Namun katanya, jurulatih yang
mempunyai pendidikan dan pengalaman dalam kejurulatihan di semua peringkat
memainkan peranan penting.
``Kita tidak boleh
memperkecilkan pembelajaran pendidikan kejurulatihan jika dibandingkan
pengalaman semata-mata sebagai pemain,'' ujarnya.
Tambahnya, ada beberapa
pendidikan dalam bidang kejurulatihan tidak diperoleh sewaktu menjadi pemain
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jcDjukWh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan