Jumaat, 29 September 2017

Aksi Syamsuri digantung 3 bulan



ARKIB : 12/05/2007

KUALA TERENGGANU – Penjaga gol pasukan bola sepak Penyu, Mohd. Syamsuri Mustafa digantung tiga bulan oleh Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) ekoran masalah disiplin.

Pengurus PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, keputusan menggantung aksi penjaga gol terbabit dibuat pada mesyuarat Sabtu lalu dan penggantungannya pula berkuat kuasa, 1 Mei lalu selepas PBSNT meneliti surat penjelasan daripada Mohd. Syamsuri.

“Keputusan ini dibuat mengikut perjanjian yang terkandung dalam kontrak pemain.

“Buat masa ini kita rehatkan dia dahulu dan selepas tamat tempoh itu, Mohd. Syamsuri akan dibenarkan untuk beraksi kembali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Che Mat menambah, gaji pemain berusia 26 tahun itu juga akan dipotong 50 peratus setiap bulan sepanjang tempoh penggantungannya.

Mengulas dakwaan penjaga gol tersebut terlibat dalam menjual permainan pula, Che Mat berkata, tiada bukti menunjukkan Mohd. Syamsuri terlibat dalam perbuatan tersebut

“Buat masa ini, tidak timbul soal menjual permainan, cuma dia direhatkan kerana masalah disiplin sahaja,” ulasnya.

Sementara itu, Che Mat menambah, hukuman ke atas seorang lagi pemain yang turut direhatkan, Norfazly Alias masih belum ditentukan oleh PBSNT kerana pihaknya masih menunggu penjelasan daripada pemain terbabit.

“Dia (Norfazly) diberi tempoh 14 hari untuk memberi penjelasan kepada PBSNT mengenai prestasinya yang merosot dalam beberapa perlawanan sebelum ini,’’ jelasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4u3gGboTA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan