ARKIB : 25/11/2009
Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Hampir seminggu
berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), kesihatan bekas
pemain bola sepak kebangsaan Santokh Singh semakin baik.
Meskipun belum sedar sepenuhnya,
Santokh yang membuat penampilan sebanyak 150 kali bersama skuad negara telah
menunjukkan reaksi positif.
Isteri Santokh , Taljit Kaur yang
ditemui, semalam berkata, keadaan suaminya lebih baik berbanding hari pertama
dimasukkan ke ICU, Khamis lalu.
"Suami saya jatuh di rumah
selepas selesai mengendalikan latihan untuk pemain muda kelab penyokong Arsenal
Malaysia.
"Dia kemudiannya dihantar ke
HKL dan ditahan di wad biasa. Namun, Khamis lalu, dia dimasukkan ke ICU. Kini
keadaannya beransur pulih dan saya berharap dia kembali sihat seperti sedia
kala," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Jelas Taljit, Santokh tidak
pernah ditahan di hospital sebelum ini dan kejadian tersebut adalah kali
pertama dilalui oleh suaminya yang kini berusia 57 tahun.
Katanya, suaminya itu masih
mengamalkan kehidupan sihat dengan tidak merokok dan melakukan aktiviti senaman
ringan, selain menjadi jurulatih bersama kelab penyokong Arsenal Malaysia.
"Dia hanya menghidap
penyakit diabetes pada tahap rendah, tetapi tidak pernah ditahan di
hospital," katanya sambil mengharapkan semua rakyat Malaysia mendoakan
kesihatan suaminya.
Sementara itu, Setiausaha Agung
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Amin yang ditemui ketika
mengunjungi Santokh berkata, pihaknya bersedia membantu meringankan bebanan
yang dihadapi oleh keluarga pemain ternama negara itu.
Katanya, FAS bersedia memberi apa
sahaja sumbangan kepada Santokh yang pernah menyumbang bakti kepada pasukan
Selangor selama 18 tahun.
"Sumbangan yang mungkin
boleh diberikan oleh FAS adalah dari segi bantuan kewangan. Saya telah
berbincang dengan isteri Santokh, Taljit cara yang boleh kami membantu keluarga
tersebut," katanya yang turut ditemani Bendahari FAS, S. Siva Sundram.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5YdJRyJ00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan