ARKIB : 29/05/2003
KETUA pasukan Negeri Sembilan,
Khairul Anuar Baharom yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani
pembedahan lutut menyifatkan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA sebagai
membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
Katanya, ini jelas membuktikan
bahawa pasukan dari divisyen dua mampu melangkah ke perlawanan akhir dan
berharapkan setiap pemain menunjukkan komitmen yang tinggi.
``Kejayaan memasuki perlawanan
akhir Piala FA membuktikan langkah pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri
Sembilan (PBNS) memilih pemain-pemain yang ada sekarang begitu tepat sekali,''
katanya di Seremban semalam.
Malah Khairul yang pernah beraksi
dalam skuad Rusa pada tahun 2000 hingga membawa Negeri Sembilan beraksi pada
perlawanan akhir Piala Malaysia menyifatkan pasukan Negeri Sembilan tahun ini
adalah satu pasukan yang begitu mantap.
Jelasnya, skuad Rusa mampu
mengalahkan pasukan-pasukan lain dalam divisyen satu musim ini.
Selepas ketiadaannya akibat
pembedahan itu, pemain pertahanan B. Rajinikandh dipilih untuk memikul tugas
tersebut.
``Dengan ketiadaan saya, saya
rasa para pemain tidak menghadapi apa-apa masalah dan berharap mereka dapat
bermain bermati-matian untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan menentang
Perlis, Sabtu ini,'' tambahnya.
Sementara itu, Rajinikandh
memberitahu, dia tidak mempunyai masalah untuk memikul tugas itu kerana pemain
yang ada adalah penuh berpengalaman.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cx3ritlb
© Utusan Melayu (M) Bhd