ROZAIDI ZULKIFI | 18 Oktober 2016 12:25 AM
S. Veenod (kiri) dijangka memainkan peranan penting buat Selangor apabila menentang Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hujung bulan ini.
KUALA LUMPUR 17 Okt. – Selepas sekadar masuk sebagai pemain gantian tahun lalu, pemain sayap kanan Selangor, S. Veenod dijangka memainkan peranan lebih penting dengan berada dalam kesebelasan utama apabila berdepan Kedah pada final Piala Malaysia kali ini.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, jauh di sudut hati Veenod, dia sedikit terkilan kerana kecemerlangan yang diraih tidak dapat dikongsi bersama adik bongsunya, S. Eswary yang meninggal dunia akibat kemalangan langgar lari di Pulau Pinang, Februari lalu.
Malah, perlawanan akhir itu juga akan berlangsung pada 30 Oktober, iaitu sehari selepas dia menyambut perayaan Deepavali.
“Dulu saya hanya pemain biasa dan ramai tidak kenal tetapi kini saya lebih dikenali dan berpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Sudah tentu aya gembira dapat membantu Selangor ke final Piala Malaysia, tetapi saya sedikit terkilan dan sedih kerana kejayaan ini tidak dapat dikongsi bersama adik.
“Mendiang adik selalu menjadi pengkritik saya sebelum dan selepas perlawanan. Sekarang dia sudah tiada...kehilangan itu menyebabkan saya sedih kerana tiada lagi dapat mendengar nasihatnya.
“Sambutan Deepavali juga akan dibuat secara sederhana tahun ini, jadi final tidak mengganggu persiapan perayaan. Lagi pun ini tugas saya sebagai seorang pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Red Giants menghampiri kejuaraan Piala Malaysia ke-34 dan mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut meskipun berdepan krisis dalaman dan kemerosotan prestasi sehingga menyebabkan pengendalinya, Zainal Abidin Hassan dipecat Ogos lalu.
Veenod, 28, juga turut menanam impian untuk menjaringkan gol dalam perlawanan akhir, sekali gus membantu skuad Selangor menjuarai Piala Malaysia.
“Saya mahu menjaringkan gol dan membantu Selangor menang.
“Jika menang saya mahu hadiahkan kejuaraan kepada adik saya kerana dia mahu sangat melihat saya menjaringkan gol dan berjaya dalam bola sepak,” katanya lagi.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 18 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan