Selasa, 18 Oktober 2016

Selangor, Kedah sama kuat – Shahrom

ZAZALI JAMIAN  |  17 Oktober 2016 12:31 AM
PEMAIN TFC II, Muhammad Safawi Rashid (kanan) diasak pertahanan Selangor, Mohamad Azmi Muslim dalam
PEMAIN TFC II, Muhammad Safawi Rashid (kanan) diasak pertahanan Selangor, Mohamad Azmi Muslim dalam separuh akhir 0Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin. – UTUSAN/ AZLAN BAHRUM
KUALA LUMPUR 16 Okt. - Tiada istilah ‘kelebihan’ buat Selangor dalam final Piala Malaysia 2016 biarpun bakal berdepan Kedah di stadium keramat mereka, Stadium Shah Alam, hujung bulan ini.

Malah, kapten Red Giants, Muhd. Shahrom Abdul Kalam menjangkakan pertemuan kali ini lebih sengit berbanding final tahun lalu, yang menyaksikan Selangor menewaskan Kedah 2-0.

Tambah Shahrom, istilah kelebihan buat tuan rumah pada aksi saingan akhir Piala Malaysia sudah tidak relevan untuk digunapakai, sebaliknya percaya peluang meraih kemenangan adalah 50-50 buat kedua-dua pasukan.

“Biarpun beraksi di Stadium Shah Alam iaitu laman kami sendiri namun perlu diingat bukan semua penonton adalah penyokong Selangor seperti dalam saingan liga.

“Ini kerana penyokong bagi perlawanan akhir adalah seimbang buat Selangor dan Kedah sebab itu istilah ke­lebihan beraksi di laman sendiri sudah tidak boleh digunakan.

“Kami perlu berwaspada berdepan lawan dan bukan berasa selesa bermain di tempat sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Juara 33 kali, Selangor me­langkah ke final Piala Malaysia dengan bergaya selepas membenam Terengganu FC II (TFC II) 3-0 di tempat lawan, semalam.

Kemenangan itu memboleh­kan mereka mara menerusi agregat 5-1.

Sementara itu, Shahrom berkata, pasukan Selangor ketika ini berada pada tahap terbaik dan hanya perlu lebih berdisiplin serta fokus sewaktu saingan akhir ­andai mahu mendapatkan gela­ran ke-34 Piala Malaysia.

“Semua jentera pasukan berfungsi dengan baik ketika ini dan kami hanya perlu mengekalkannya untuk aksi perlawanan akhir nanti.

“Dalam masa sama kami juga tidak boleh memandang mudah pasukan lawan kerana dapat dilihat Kedah mempunyai tahap prestasi yang tinggi musim ini .

“Malah, saya percaya mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mengambil Piala Malaysia daripada kami,” kata Shahrom.

Kedah berjaya mengikat Red Giants 2-2 ketika kedua-dua pa­sukan bertemu di Stadium Shah Alam dalam saingan Liga Super pada April lalu.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 17 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan