Jumaat, 14 Oktober 2016

Peluang masih terbuka

Peluang masih terbuka
ROZAIDI ZULKIFLI  |  14 Oktober 2016 12:30 AM
 SHAHROM KALAM
SHAHROM KALAM
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Tonggak pertahanan Selangor, Muhd. Shahrom Abdul Kalam mengakui peluang masih terbuka untuk semua pasukan mara ke pentas akhir tetapi dia percaya dengan prestasi semasa rakan sepasukannya mereka mampu mengulangi kejayaan tahun lalu.
Bagaimanapun secara peribadi dia mengibaratkan perlawanan menentang TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shahadalah aksi final sebenar kerana perlawanan ini akan menentukan pasukan mana akan mara untuk merebut kejuaraan.

“Bagi saya peluang untuk keempat-empat pasukan iaitu Selangor, Kedah, TFC II dan PDRM masih terbuka untuk mara ke final dan separuh akhir kedua ini merupakan perlawanan yang sangat penting buat semua pasukan.

“Kami memiliki kelebihan jaringan tetapi tuan rumah mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penonton sendiri dan kalau ikut rekod dalam aksi Liga Super kami pernah tewas 1-0 tetapi perlu faham bahawa saingan liga dan piala adalah berbeza.

“Saya juga boleh katakan bahawa perlawanan Sabtu ini merupakan aksi final sebenar. Ini kerana jika mana-mana pasukan tewas maka akan berakhir pemburuan kejuaraan Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahrom yang merupakan salah seorang pemain yang membantu Selangor merealisasikan misi 33 kali memenangi Piala Malaysia musim lalu dan juga merupakan ketua pasukan tidak diturunkan dalam aksi separuh akhir pertama kerana cedera.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 14 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan